Layla Sania mencipta sejarah sebagai penyanyi kedua Malaysia selepas bintang antarabangsa, Yuna terpilih menghiasi papan digital ikonik Times Square di kota New York, Amerika Syarikat.
Namanya belum lagi besar di persada muzik Malaysia. Tetapi, Layla Sania telah mencipta sejarah peribadi dan negara selepas wajahnya terpilih menghiasi papan iklan digital ikonik Times Square di kota New York. Dia mengikut jejak langkah bintang antarabangsa, Yuna yang pernah menghiasi antara lokasi paling popular dunia itu bukan sekali, tetapi tiga kali sebelum ini.
Penyanyi berusia 19 tahun itu telah dipilih antara bakat baharu oleh lama penstriman gergasi, Spotify untuk mewakili Malaysia dan Singapura dalam program Spotify’s EQUAL Singapore & Malaysia. Kempen global ini membariskan artis wanita dari setiap seluruh dunia untuk playlist Woman Power yang akan dipromosikan di papan digital Times Square.
“Saya mengucapkan jutaan terima kasih kepada @spotify @spotifyasia kerana memberikan peluang sekali dalam seumur hidup untuk menghiasi NewYork Times Square Billboard melalui Spotify’s EQUAL Singapore & Malaysia playlist. Saya cukup bangga terpilih menjadi sebahagian daripada playlist Woman Power yang menakjubkan ini,” kongsi Layla Sania melalui akaun Instagram.
“Juga terima kasih kepada ucapan dan doa semua yang diberikan kepada Layla. Saya akan melakukan yang terbaik dan tidak akan mensia-siakan peluang ini. InsyaAllah,” tambahnya lagi.
Artis bawah naungan Warner Music Malaysia ini muncul dengan single pertama berjudul ‘Que Sera Sera’. Dia yang fasih berbahasa Mandarin seterusnya tampil dengan single Mandarin berjudul ‘By Your Side’. Sebelum ini, Layla Sania pernah membintangi beberapa produksi drama dan telefilem tempatan.
Foto: Instagram Layla Sania
Baca lebih lanjut: Desaru Coast Diiktiraf Antara 100 Destinasi Terbaik Dunia 2021 Oleh TIME Magazine