Persoalannya, siapakah pemain bola sepak yang mempunyai pengikut paling ramai di dunia ketika ini?
Dahulu, populariti seseorang pemain bola sepak diukur menerusi trofi, jaringan gol dan pencapaian di atas padang.
Namun hari ini, satu lagi ukuran yang tidak kurang penting ialah jumlah pengikut di media sosial.
Instagram khususnya menjadi pentas utama buat bintang bola sepak berkongsi kehidupan di luar padang, kempen fesyen, kolaborasi jenama mewah sehinggalah momen bersama keluarga.
EH! senaraikan 5 bintang yang bukan sahaja mendominasi di atas padang, malah turut menguasai media sosial dengan ratusan juta pengikut yang sentiasa menantikan setiap perkongsian mereka.

1. Cristiano Ronaldo
Instagram: 660+ juta pengikut
Tiada siapa mampu menandingi pengaruh Cristiano Ronaldo di media sosial. Kapten Portugal ini kekal sebagai individu paling ramai diikuti di Instagram, mengatasi selebriti Hollywood, penyanyi mahupun atlet lain!
Setiap hantaran Ronaldo mampu meraih jutaan tanda suka dalam tempoh beberapa jam sahaja. Kandungannya merangkumi latihan, keluarga, gaya hidup mewah, fesyen, perniagaan serta kerjasama bersama jenama global seperti Nike, Louis Vuitton dan Whoop.

2. Lionel Messi
Instagram: 500+ juta pengikut
Legenda Argentina ini berada di tangga kedua dengan lebih 500 juta pengikut. Berbeza dengan Ronaldo yang sering berkongsi gaya hidup mewah, kandungan Messi lebih bersifat santai dan peribadi.
Sejak membantu Argentina menjulang Piala Dunia dan menyertai Inter Miami, popularitinya terus melonjak. Setiap kemunculannya sama ada di atas padang mahupun bersama keluarga sentiasa menjadi perhatian peminat seluruh dunia.

3. Neymar
Instagram: 220+ juta pengikut
Neymar kekal sebagai pemain Brazil paling berpengaruh di media sosial. Selain aksi di padang, beliau terkenal dengan gaya fesyen berani, tatu, muzik, permainan video dan kehidupan glamor yang menjadikan akaunnya sentiasa aktif.
Walaupun sering dibelenggu kecederaan, populariti Neymar masih sukar digugat, khususnya dalam kalangan peminat Amerika Latin dan Asia.

4. Kylian Mbappé
Instagram: 130+ juta pengikut
Bintang Perancis ini dianggap wajah baharu bola sepak moden. Kepantasannya di atas padang digandingkan dengan imej elegan di luar padang menerusi kerjasama bersama pelbagai jenama fesyen dan sukan.
Selepas menyertai Real Madrid, jumlah pengikut Mbappé terus meningkat mendadak dan beliau mengukuhkan statusnya sebagai antara atlet paling berpengaruh generasi baharu.

5. Mohamed Salah
Instagram: 57+ juta pengikut
Digelar “King of Egypt“, Mohamed Salah mempunyai pengaruh luar biasa bukan sahaja di Timur Tengah malah di seluruh dunia. Beliau sering menggunakan media sosial untuk berkongsi aktiviti kebajikan, kempen kesedaran serta perkembangan karier bersama Liverpool.
Baca: Selamat Tinggal, Legenda: Bintang Bola Sepak Yang Bersara Selepas FIFA World Cup 2026
