Bukan sahaja diburu, malah kumpulannya, BLANK2Y ‘membuang’ ahli Youngbin dari kumpulan Idol K-Pop selepas dakwaan menyerang bekas teman wanita.
Pada 25 Februari lalu, seorang individu tanpa nama dirujuk sebagai ‘A’ membuat siaran foto kepada komuniti dalam talian, mendakwa rakan mereka telah diserang secara fizikal dan dicekik oleh bekas teman lelakinya, seorang Idol K-Pop yang dirujuk sebagai ‘B.’
‘A’ menceritakan bahawa, “Rakan saya dan idol, ‘B’ berpasangan selama kira-kira tiga bulan, dan apabila rakan saya ingin berpisah dengannya, dia (B) menyerang secara fizikal. Dia memegang kolar kawan saya dan mengheretnya ke sebuah lorong sunyi, kemudian dia mengambil telefon bimbit darinya dan mencampaknya ke jalan, lalu mencekiknya sehingga dia jatuh pengsan.”
A menyatakan bahawa rakan mereka sukar bernafas dan hampir lemas , “Jika orang berhampiran tidak membantunya, kawan saya mungkin tidak lagi hidup hari ini. Dia juga mempunyai rekod perubatan mengenai kecederaannya.”
Dia turut memuat naik beberapa siri gambar rakannya dan teman lelaki Idol K-Pop itu bersama, termasuk gambar mereka bercium. Namun sebagai langkah berjaga kerana masih dalam laporan siasatan polis, dia mengaburkan wajah mereka berdua untuk menyembunyikan identiti mereka berdua.
Kes ini telah menarik perhatian media dan juga polis, yang kini sedang memburu pelaku tersebut. Namun tindakan pantas warga internet dan peminat K-Pop telah mendedahkan bahawa pelaku itu adalah salah seorang daripada kumpulan lelaki K-Pop, Youngbin -BLANK2Y yang dianggotai oleh 8 0rang ahli dan antara lagu popular mereka adalah Thumbs Up.
Sabtu lalu, agensi Keystone Entertainment telah mengeluarkan nama Youngbin daripada kumpulan lelaki BLANK2Y dan memohon maaf dalam satu kenyataan rasmi. Youngbin pernah menyertai rancangan uji bakat Mnet “I-LAND” (2020) dan memulakan kerjaya sebagai Idol K-Pop ahli BLANK2Y pada Mei tahun lalu.