Aktor popular Bollywood, Shah Rukh Khan ternyata kelihatan berang ketika dirinya dijadikan bahan gurauan untuk sebuah rancangan TV Arab berunsurkan prank baru-baru ini.
Menerusi video yang dirakamkan, Shah Rukh Khan bersama seorang pengacara TV iaitu Nishan telah dibawa ke gurun di Dubai untuk sebuah penggambaran menaiki sebuah pacuan empat roda. Secara tiba-tiba, kenderaan yang mereka naiki mula tenggelam di kawasan pasir jerlus.
Dua daripada krew yang membawa Shah Rukh Khan serta Nishan ke tempat itu lemas ke dalam pasir jerlus dan hanya meninggalkan Shah Rukh Khan dan Nishan yang mana masing-masing cuba untuk menyelamatkan krew tersebut biarpun dalam keadaan panik dan cuba menjerit meminta pertolongan.
Kemudian, seekor biawak Komodo, yang mana merupakan kostum prank yang dipakai oleh pelawak dan hos rancangan tersebut Ramez Underground iaitu Ramez Galal secara mengejut menghampiri Shah Rukh Khan serta Nishan.
Situasi itu membuatkan Nishan bertambah panik serta menjerit ketakutan. Selepas beberapa detik-detik usikan, Ramez akhirnya mendedahkan bahawa ia semua adalah gurauan semata dengan membuka topeng kostum yang dipakainya.
Namun, Shah Rukh Khan yang menyedarinya tidak menganggap ia sebagai satu prank yang boleh diterima dan terus membidas Ramez, “Ini semua mengarut…Awak bawa saya terbang dari India ke sini hanya untuk melakukan perkara sebegini?”
Ramez kemudian cuba meminta maaf beberapa kali dari aktor tersebut tetapi Shah Rukh Khan yang dibantu keluar dari pasir jerlus itu ternyata berang dengan tindakan Ramez sehinggakan dia hampir menumbuk pengacara itu.
Biarpun reaksi Shah Rukh Khan yang seakan tidak dapat menerima prank tersebut, Ramez masih lagi berusaha untuk meminta maaf kepada aktor terkenal itu. Shah Rukh Khan dengan marahnya menjawab “Awak mahu saya anggap perkara ini adalah satu yang kelakar?” sambil meminta untuk Ramez mendiamkan diri dari terus merayu kepadanya.
Ramez kemudian mula menyanyikan lagu Marjani Marjani dari filem lakonan Shah Rukh Khan yang berjudul Billu Barber dan akhirnya aktor itu memberikan senyuman sambil menuju ke keretanya tanpa menerima maaf dari Ramez.
Menurut laporan terkini, sebenarnya Shah Rukh Khan tahu akan semua agenda prank yang dilakukan oleh pelawak Ramez Galal itu. Dikatakan yang mana Shah Rukh Khan turut dibayar untuk melakonkan reaksi marah itu. Sumber terdekat mendedahkan yang Shah Rukh Khan dibayar sebanyak USD$400,000 (Rs 2 crore) untuk tampil dalam program prank itu.
Pengurus kepada Shah Rukh Khan iaitu Pooja Dadlani turut mengesahkan, “Ya, semuanya hanyalah lakonan semata dan Shah Rukh Khan tahu akan segalanya dan reaksi marahnya itu juga adalah lakonan sahaja.”
Namun Pooja tidak mengesahkan sama ada aktor itu dibayar untuk program tersebut atau pun tidak. Sebelum ini, Paris Hilton turut menjadi mangsa prank oleh program TV yang dihoskan oleh Ramez itu.
Tonton video penuh di bawah.
https://www.facebook.com/Virallagi/videos/1456191007778741/