Bintang Columbia itu antara penyanyi terbaharu yang menjual hak penerbitan katalog karya muzik miliknya yang bernilai jutaan dolar.
Bintang kelahiran Columbia ini adalah antara penyanyi yang paling popular di dunia. Bakat milik Shakira tidak perlu dipersoalkan lagi. Bukan sahaja terkenal dengan gelekan pinggul nan ikonik, dia juga menulis dan menerbitkan hampir kesemua lagu yang dinyanyikannya. Baru-baru ini, Shakira telah menjual hak cipta penerbitan kesemua 145 katalog karya muzik miliknya kepada Hipgnosis Songs Fund Limited.
Antara lagu hit yang tersenarai dalam katalog penjualan itu termasuklah Wherever, Whenever, Hips Don’t Lie, La Tortura, Chantaje dan terbaharu, Girl Like Me bersama Black Eyed Peas. Secara keseluruhan, lagu-lagu milik Shakira telah terjual sebanyak 80 juta rekod di seluruh dunia. Lantas menjadikan dia sebagai penyanyi wanita Latin dengan penjualan tertinggi sepanjang zaman.
“Pencapaian sebagai seorang penulis lagu saya anggap sama atau lebih hebat daripada menjadi penyanyi atau artis sahaja,” menurut pemenang Grammy itu. “Sejak berusia 8 tahun lagi, sebelum saya mula menyanyi, saya sudah mula menulis lagu. Setiap lagu adalah refleksi diri pada masa saya menulisnya, tetapi apabila sesebuah lagu itu telah keluar, ia bukan sahaja milik saya tetapi juga semua yang menghargainya.”
Perjanjian yang dijalinkan bersama Sharika dan Hipgonosis dianggarkan bernilai jutaan dolar. Walau bagaimanapun, nilai sebenar perjanjian itu tidak didedahkan kepada umum. Tetapi selalunya mereka akan membayar dengan nilai bersamaan dengan 15 tahun royalti muzik terlebih dahulu. Dengan penjualan hak muzik ini, ia akan memberikan artis lebih keselamatan dari segi kewangan.
Shakira telah menyertai barisan artis yang telah menjual hak penerbiatan lagu mereka seperti Blondie, Bob Dylan, Neil Young dan ramai lagi. Tahun lalu, dia telah menghangatkan pentas Super Bowl bersama Jennifer Lopez. Persembahan separuh masa itu bukan sahaja telah menjadi bualan ramai, ia turut sama telah meningkat nilai katalog muziknya.
Baca lebih lanjut: 5 Momen Paling Dinantikan Peminat Muzik Pada 2021