Berbekalkan dua siri yang bersiaran bulan ini, anak sulung dari dua beradik ini diramal bakal mencuri perhatian penggemar drama Melayu. Berjaya atau tidak menambat hati penonton, perhatian pasti menjadi miliknya. Sharifah Rose, bunga baru yang sedang berputik di taman seni.
Arahan Seni & Penata Gaya: Khairul Abidin, Pembantu Penyelaras: Johan Kassim, Gambar: Edmund Lee (One3Four Studio), Solekan: Sheng Saw, Penata Gaya Hijab: Nazlivingstyle
Sharifah Rose, nama itu cukup lazim di telinga saya, namun sebelum 2021 saya tidak pernah bertemu atau bekerja dengannya. Dua tahun lalu saya pernah bercadang bekerja dengannya untuk satu projek EH! bersama jenama pakaian sedia pakai tersohor, Uniqlo, namun atas kekangan waktu hasrat itu tidak kesampaian.
Awal Mac lalu saya cuba-cuba mencadangkan namanya sekali lagi untuk satu kolaborasi bersama Gucci, dan pilihan saya nyata tepat apabila pihak pengrusan di Singapura untuk rumah fesyen Itali ini setuju dengan saranan saya. Dan awal April lalu jodoh saya untuk bertemu Rose akhirnya tiba, orangnya lembut bila berbicara dan pengalaman bekerja dengannya setakat ini cukup mudah. Walaupun pagi itu dia datang dari Kuala Pilah (dari lokasi penggambaran drama), Rose melunaskan tugasnya dengan kami cukup baik, mudah dan pantas.
Selang beberapa minggu kemudian kami mengundangnya sekali ke studio untuk penggambaran ini. Sharifah Rose Sabrina Binti Syed Mohd Mazfira atau nama ‘pentasnya’ Sharifah Rose tengahari itu ke studio ditemani ibunya. Kami hanya ada beberapa jam sahaja sebelum tiba waktu berbuka untuk menyudahkan penggambaran. Dan usai menemani kami di studio, dia bergegas kembali ke set di Kuala Pilah.
Dilahirkan pada 26 November 1998, Rose kini memberanikan diri melangkah ke gelanggang lakonan, dan kali ini hajat mahu lebih serius dalam lapangan baharu ini dan mencorakkan kerjayanya dengan penuh iltizam. Pernah cuba-cuba berlakon menerusi watak sampingan beberapa tahun dulu menerusi drama Cerita Hantu Asrama, hari ini dia tampaknya sudah bersedia untuk mencabar kemampuan diri sebagai pelakon.
Ketika ini siri Kisah Cinta Rumi sudah beberapa minggu bersiaran di TV3, dan saat ini jantungnya sedang berdeup kencang menanti siri sulung yang mengetengahkannya sebagai pelakon utama bakal menemui penonton, iaitu Kekasih Hati Mr Bodyguard di slot Lestary, TV3.
“It’s very challenging and exciting.”
Mesra disapa Rose, saya menemubualnya beberapa hari usai penggambaran. Perbualan telefon setengah jam itu pastinya belum cukup untuk saya betul-betul mengenalinya namun apa yang boleh saya simpulkan, sangat mudah berurusan dengannya.
“Berbintang Sagitarius, karakter Rose sebenarnya bagaimana?” saya membuka pertanyaan petang itu. “ Sagitarius biasanya seorang yang easy going dan dalam masa yang sama saya juga tidak suka dikawal. Saya terbuka untuk mencuba sesuatu yang baru setiap hari. Saya juga sebenarnya seorang yang cukup straightforward, dan adakalnya saya rasa sikap saya yang suka berterus terang mungkin sukar diterima. Tapi begitulah saya, suka berekpresi dan sebolehnya saya mahu lakukan kerja dengan cara yang betul. Jika ada isu biarlah diselesaikan dengan cara yang baik,” terang gadis berusia 22 tahun ini.
Namun Rose yang saya lihat dengan sepasang mata saya tempoh hari cukup lembut dalam berbicara, dan dia berpendapat adakalanya sifat lembutnya itu membuka ruang untuk dirinya ditindas. “Lembut itu ada baik buruknya, kadang-kadang memang akan ada orang yang ambil kesempatan. Saya suka my softness. Tapi jika orang tanya apa kelemahan saya, saya orang yang tidak sabar. Jika saya mahukan sesuatu saya mahu dapat dengan cepat. Tapi yang eloknya bila ada sikap tak sabar ini saya juga menjadi seorang yang determine. Saya akan usaha dan ikhtiar sampai saya boleh dapat apa yang saya hajatkan.”
“Apa sasaran Rose ketika ini?” “At the moment fokus saya mahu mengembangkan karier lakonan. Selepas enam tahun dengan modelling saya rasa tiba masa untuk saya cuba sesuatu yang baru. Kebetulan tawaran berlakon datang dan saya lihat ini satu peluang untuk saya mencabar diri untuk buat sesuatu yang berbeza dari apa yang sudah biasa saya lakukan. Sebelum ini pernah berlakon tapi sekadar watak sampingan dan pada waktu itu saya belum sedia untuk lebih serius.” Kongsi Rose dalam masa yang sama sasarannya mahu menyudahkan pengajiannya. Dia sebelum ini pernah melanjutkan pengajian Asasi Undang-Undang di Universiti Teknologi Mara (UiTM), dan kini dia menyambung pendidikan di dalam jurusan Business Marketing di KDU.
“Apa pula sasaran dalam bidang lakonan?” “Buat masa ini saya go with the flow sahaja. Drama pun baru hendak ditayangkan jadi saya tunggu dan lihat apa maklum balas penonton.”
Bila saya tanyakan tentang pengalamannya yang masih terlalu hijau sebagai pelakon, ulas Rose ia satu bidang kerja yang menarik dan dalam masa yang sama mencabar. “It’s very challenging and exciting. Berdasarkan pengalaman saya setakat ini saya lihat bidang lakonan sangat menarik. Setiap hari bila ke set akan ada saja benda baru yang saya belajar, tidak kira sama ada dari pelakon atau pun pengarah sendiri.”
“Saya sentiasa looking forward untuk ke set, bila tiba masa untuk rehearsal dari situ saya akan belajar banyak benda. Ya, memang adakalanya ditegur atau dimarah tapi bagi saya itulah namanya proses belajar.” Untuk siri Kekasih Hati Mr Bodyguard dia digandingkan dengan aktor Redza Rosli.
Begandingan dengan pelakon-pelakon berpengalaman, Rose tidak menafikan ia juga mengundang tekanan buatnya. “Pada mulanya of course ada rasa pressure. Tapi saya perlu tetapkan mindset, selain mencari rezeki saya juga menanam niat mahu belajar. Saya tak boleh ada sikap mudah terasa hati. Sejujurnya saya sangat bersyukur dengan peluang yang datang, berlakon memang menawarkan satu pengalaman yang baru.”
Di sebalik keteruajaannya, Rose akui dia melalui satu proses yang agak sukar untuk menyuaikan diri dengan lapangan barunya itu. “Membahagikan masa antara belajar dan berlakon bukan mudah. Susah untuk mengimbangi kedua-duanya. Saya pernah melalui satu fasa yang mana saya tiada satu hari pun untuk cuti, I experienced mental breakdown. Tapi saya tak menyesal dan macam saya katakan tadi saya anggap ini rezeki dan I do it for experience.”
“Expect less, appreciate more.”
Menyelusuri kembali kembaranya sebagai bintang media sosial, menurut Rose semuanya berlaku tanpa disedari. Akaun instagramnya @sharifahrose_ sudah punya lebih 700 ribu pengikut. Sama seperti orang lain, dia sekadar berkongsi gambar di Instagram, lama-kelamaan pengikutnya bertambah-tambah. Dari situ dia dapat banyak peluang termasuk menjadi model. Namun lumrah, apabila dikenali pastinya ada harga yang perlu dibayar. Sudah beberapa kali tercetus isu yang membuatkan namanya tular.
“Dulu, bila viral saya tak pendai untuk respon, ya umur pun muda baru habis SPM. Saya tak tahu bagaimana mahu reply komen dan saya ambil masa untuk faham dan sedar apa yang patut dan tidak patut. Komen-komen negatif saya letak ke tepi. Hari ini juga saya lebih jelas dengan apa yang saya mahu.”
“Saya tak kata hari ini saya dah matang tapi sedikit sebanyak saya sudah tahu bagaimana untuk mengawal atau respon satu-satu hal.”
“Okey bercakap tentang mental breakdown, apa yang Rose buat untuk calm down?” “Saya selalu rujuk dengan ayah dan ibu. Saya akan pergi kepada orang-orang yang supportive. Walaupun kadang-kadang apa yang kita lalui itu memalukan tapi kita kena akui dan kongsi dengan parents. Kita membesar di hadapan mereka jadi usah pinggirkan mereka. Dan jika perlu, saya akan slow down aktiviti di media sosial. Selalunya bila ada kontroversi atau isu berbangkit kita sendiri memang tak bersedia, ia datang tiba-tiba. Tapi saya selalu ingatkan diri yang I will go through it. Lazimnya paling lama orang akan bercakap tiga hari atau seminggu. Kenapa saya nak stuck hidup saya pada fasa itu sahaja. Move on!”
“Bagi saya dalam hidup kita perlu expect less and appreciate more. Walaupun sekecil-kecil nikmat kita harus hargai. Kita perlu melihat dari sudut positif. Walaupun saya sibuk, tiada rehat saya perlu lihat kesibukan itu adalah rezeki. Semakin kita bersyukur, makin banyak yang Allah akan bagi,” jelasnya yang pernah muncul di dalam video muzik Vroom Vroom, Nabila Razali.
“Bagi Rose kontroversi itu membantu seseorang selebriti?” “I do think controversy membantu seseorang selebriti untuk lebih dikenali, tapi semua itu bergantung juga bagaimana mereka bertindak atau berekasi kepada kontroversi. Publisiti tetap publisiti, baik atau buruk ceritanya.”
Bercakap hal tular, sebelum ini hangat dibangkitkan isu pemilihan pelakon oleh stesen televisyen yang rata-ratanya lebih cenderung memilih berdasarkan populariti individu di media social. Pihak stesen TV tidak berat hati mahu memilih pelakon atau lebih senang pemilihan pelakon di kalangan instafamous walaupun adakalanya yang dipilih itu tidak punya kebolehan jauh sekali pengalaman. Walaupun ada yang mengaitkan isu tersebut dengannya, namun Rose seakan menyediakan dirinya agar tidak dikategorikan sebagai sekelompok instafamous yang menerima tawaran atas tiket popular.
Menurut Rose dia sempat berguru dengan aktres hebat, Ellie Suriati. Biarpun dalam waktu yang sangat singkat, Rose menganggap pengalaman menimba ilmu dengan bintang Spinning Gasing itu cukup berharga. “Dia mengubah perspektif saya tentang dunia lakonan. Kita harus masuk dan suburkan karakter yang dibawa ke dalam jiwa, bila kita tidak terlalu mencuba, lakonan akan lebih natural. Walaupun tugas kita berlakon tapi usah nampak berlakon. Ellie seorang yang sangat motherly, cara dia mengajar membuatkan saya lebih jatuh cinta kepada bidang ini.”
Artikel Berkaitan: Aedy Ashraf & Daiyan Trisha, Bicara Tentang Past, Present & Future!
“They Do It For Content.”
Sebagai seorang yang terbuka berkongsi ‘kehidupan’ di media sosial sejak remaja lagi, saya tanyakan kepada Sharifah Rose akan pendapatnya tentang gen-Z hari ini yang mana pada pemerhatian saya mereka hidup dalam persekitaran yang penuh dengan persaingan. Kadang-kadang berapa ‘likes’ di Instagram juga dijadikan perbandingan. “I do agree, dan apa yang saya lihat pada adik dan kawan-kawannya, mereka lebih pentingkan kehidupan di media sosial, mereka mudah membandingkan kehidupan dengan orang lain hanya berpandukan apa yang mereka lihat di Instagram, which I found very sad. Lagi satu, saya rasa generasi hari ini tidak ramai yang mempunyai hobi, mereka banyak luangkan masa dengan telefon. Jika ada hobi pun they do it for content.”
“Apa hobi Rose?” “Saya suka membaca, novel ataupun buku self-help. Adakalanya untuk hiburan sendiri saya suka create playlist di Spotify.” Kongsi Rose dengan saya, antara buku kegemarannya ialah The Art of People.
“Rose banyak bekerja dengan jenama lokal sebelum ini, secara peribadinya apa pendapat Rose tentang jenama-jenama kita? “Jika diperhatikan betul-betul ada jenama lokal yang memang setanding dengan jenama antabangsa. Kita kena pilih betul-betul. Lagi satu saya harus bagi kredit kepada local brand sebab sebahagiannya memang bijak merencana stategi pemasaran. Kadang-kadang saya sendiri amaze bagaimana mereka boleh dapat jualan dengan begitu banyak.” “Tidak bercadang punya perniagaan sendiri?” usik saya. “I always wanted to do business. Tapi saya harus jujur yang saya masih belum bersedia. Saya mahu memulakan bila saya betul-betul bersedia, I want to give my all. Mungkin lagi lima tahun,” balasnya mengakhiri perbualan telefon kami lewat petang itu.