Tidak mengalami sebarang masalah serius sepanjang enam bulan Sharifah Sakinah hamil, namun dia berhadapan dengan masalah jerawat yang teruk baru-baru ini.
Umum tahu yang mana sekarang ini, Sakinah sedang hamil enam bulan. Bagi adik kepada Sharifah Shahirah ini, dia tidak mahu membebankan fikirannya dengan ujian yang ditempuhinya selama proses hamil ini.
“Alhamdulillah, saya belum berdepan situasi yang luar biasa. Cuma, kulit wajah saya yang bermasalah sehingga naik jerawat. Bagaimanapun, saya mengambil langkah untuk lebih tenang dan santai dalam melalui tempoh kehamilan ini. Seperti kakak saya, Sharifah Shahirah, walaupun sudah memiliki lima anak, dia sentiasa tenang dalam apa juga situasi,” katanya kepada BH Online.
https://www.instagram.com/p/BPRW8TMhzhn/?taken-by=sharifah_sakinah&hl=en
Selebriti popular ini sempat berkongsi tentang masalah kulit wajah yang dialaminya sekarang ini. Rata-rata pengikutnya memberikan komen supaya dia bersabar menempuh dugaan itu dan ada juga yang memberikan sokongan serta nasihat kepadanya untuk mengatasi masalah kulit itu.
Sakinah sekarang ini banyak meluangkan masa di rumah untuk berehat. Setiap hari dia akan pastikan dirinya bersenam demi memastikan kesihatannya dan bayi terjaga.
“Cuma saya tidak melakukan senaman berat seperti sebelum ini, sebaliknya lebih fokus pada pilates,” katanya.
Sakinah dijangka untuk melahirkan bayi pertamanya itu pada Mei nanti.