Oleh: Farhana Fuad
Gambar: chordgitarindonesia.com
Nama Sheila On 7 dalam dunia muzik nusantara bukan lagi satu nama yang asing. Kembara muzik mereka yang paling menyerlah sekitar tahun 2000 melonjak populariti serta meletakkan kumpulan anak muda ini setara dengan band tersohor ketika itu sama ada di Indonesia mahupun di Malaysia.
Buat peminat SO7 yang sekian lama menanti kemunculan semula mereka, bulan ini bakal mengembalikan rentak Duta dan rakan-rakan apabila mereka memilih Kuala Lumpur untuk mengadakan konsert pada 27 Mac ini.
Gambar: ilassotickets.com
Konsert SO7 yang bakal diadakan ini pastinya akan membawakan dimensi baru buat kumpulan muzik dari Indonesia ini dan juga buat peminat kerana sudah agak lama mereka tidak mengadakan sebarang konsert berskala besar.
Lebih istimewa, konsert ini adalah sambutan ulang tahun ke-20 SO7 sejak mula mewarnai dunia muzik dengan bakat mereka pada 1996. Tidak dinafikan lagu-lagu mereka sering mengungguli carta dan menjadi siulan muda-mudi. Antaranya Sephia, Seberapa Pantas, Sebuah Klasik, Berhenti Berharap dan banyak lagi. Tentunya konsert kali ini akan menggamit kembali memori sejak 20 tahun lalu selain turut menampilkan kematangan mereka kini.
Konsert So7 bakal berlangsung pada 27 Mac berlokasi di Dewan StarXpo, KWC Mall, Kuala Lumpur. Ianya bakal berlangsung selama dua jam setengah dan SO7 bakal menyampaikan seleksi lagu popular mereka dari album pertama sehingga album terkini.
Tiket ke konsert SO7 sudah pun mula dijual pada harga bermula RM75 ke RM190. Tiket SO7 boleh didapati di beberapa cawangan Rock Corner atau layari iLassoTickets untuk maklumat lanjut.