Gambar: instagram
Kemelut pertelagahan antara Shila Amzah dengan media yang berpunca daripada dakwaan kononnya media Melayu tidak memberi sokongan terus berlarutan yang turut membabitkan kumpulan peminatnya yang membuat kenyataan awal mengenai isu ini. Penyanyi yang mengadakan konsert pertama di Malaysia minggu lalu itu dilihat terus mengambil sikap provokasi sebaik sebuah akhbar harian mendedahkan konsert berkenaan mendapat tajaan syarikat judi.
Selain memuat naik gambar di laman sosial peribadinya, Shila yang semakin dikenali di China selepas menjuarai I am Singer pada 2012 tampak meluahkan perasaannya secara berkias berhubung isu hangat itu. Malah rata-rata pengikut yang sedari awal menyokong artis kesayangan mereka turut memberikan kata-kata semangat walaupun ada dikalangan mereka memintanya memberi penjelasan dan tidak kurang juga menempelak sikap tidak sensitif penyanyi terbabit.
Harian Metro yang dapat berhubung dengan bapanya, ND Lala atau nama sebenar Amir Amzah yang kini berada di China bersamanya menyatakan beliau akan memberi kenyataan sebaik pulang ke Kuala Lumpur.