“Love Is in the Air” begitulah indahnya kisah cinta antara pempengaruh dan juruterbang, Adib Aidil, serta Nurul Nadhirah Zaini yang akhirnya terlerai hingga ke jinjang pelamin.
Perkahwinan pasangan ini nyata mencuri perhatian ramai apabila Adib Aidil berkongsi berita gembira itu menerusi Instagram dengan kapsyen ringkas tetapi penuh makna, “26.06.26, pada Hari Asyura, Alhamdulillah dia sah menjadi isteriku.”
Hantaran tersebut pantas menjadi sorotan peminat yang sebelum ini mengikuti perjalanan karier dan kehidupan peribadinya dari usahawan BananaDibs sehingga seorang juruterbang serta pempengaruh media sosial.
Majlis pernikahan pasangan ini difahamkan berlangsung dalam suasana tertutup dan sederhana di Meet & Dine Sungai Long, hanya dihadiri ahli keluarga serta kenalan rapat.
Kenali sosok serta keperibadian Nurul Nadhirah Zaini yang kini menjadi perhatian ramai.

Cinta di awan biru
Menariknya, kisah cinta Adib dan Nurul Nadhirah seakan-akan membawa makna sebenar “cinta di udara”. Ini kerana kedua-duanya mempunyai latar belakang dalam industri penerbangan, satu di kokpit sebagai juruterbang, dan satu lagi di kabin sebagai pramugari.
Perjalanan hidup mereka yang seiring dalam dunia penerbangan ini seolah-olah menjadi titik temu sebelum akhirnya membawa mereka ke fasa kehidupan yang lebih serius sebagai suami isteri.

Latar belakang Nurul Nadhirah
Untuk rekod, Nurul Nadhirah Zaini bukanlah nama asing dalam industri penerbangan. Beliau pernah berkhidmat sebagai pramugari di Malaysia Airlines dari tahun 2015 hingga 2023, sebelum meneruskan kerjaya dalam bidang sama bersama Firefly bermula 2024 sehingga kini.
Selain pengalaman profesionalnya, Nurul Nadhirah turut pernah mencuri perhatian apabila tampil dalam podcast Borak Dalam Galley (BDG) kendalian penyanyi dan pelakon Zarul Umbrella pada tahun 2024, sekali gus memperkenalkan dirinya kepada khalayak yang lebih luas.
Baca: Fenomena 26.06.26, 4 Selebriti & Pempengaruh Ini Pilih Hari Istimewa Untuk Bernikah
