Tidak lama selepas perkongsian tersebut, seorang pakar dalam bidang kelumpuhan wajah mendedahkan pelantun Sorry itu menunjukkan tanda-tanda awal untuk pulih.
Menurut Charles Nduka yang merupakan pakar pembedahan pembentukan semula dan pengasas bersama badan amal kesihatan Facial Palsy UK, kira-kira 75 peratus pesakit sindrom Ramsay Hunt yang menerima rawatan awal termasuk steroid dan antivirus pulih sepenuhnya.
“Dalam video yang dikongsi Justin Bieber, saya mendapati bahawa dia menunjukkan beberapa tanda pemulihan. Salah satu perkara paling ketara apabila pesakit diserang lumpuh wajah adalah mereka tidak boleh menutup mata sepenuhnya atau tersenyum.
“Sebelum mereka boleh senyum seperti sedia kala, perkara pertama yang akan pulih adalah simetri pada wajah ketika tidak melakukan sebarang ekspresi. Bermakna puncak hidung tertarik sedikit ke atas dan simetri mulut menjadi sekata. Dalam video yang dikongsi, saya dapat melihat tanda-tanda pemulihan awal,” jelasnya.
Tambahnya, tidak mendapatkan rawatan awal atau rehat yang mencukupi akan menyebabkan lumpuh separuh wajah yang dialami menjadi kekal.