Siti Saleha rancang pernikahan bersama tunangnya selepas Aidilfitri tahun ini.
Pelakon drama bersiri 7 Hari Mencintaiku ini bakal menamatkan zaman bujangnya tidak lama lagi. Mengaku teruja tetapi pada masa yang sama, Saleha berharap yang segalanya berjalan dengan lancar dan dipermudahkan.
Pada ketika ini, kedua-dua pihak keluarga masih lagi dalam proses perbincangan dan butiran mengenai majlis tersebut akan dikongsikan kelak pabila mempunyai kata persetujuan.
“Insya-Allah kami akan berkahwin selepas Hari Raya nanti. Bagaimanapun, tarikh dan beberapa perkara lain akan diberitahu kemudian. Saya teruja dan seronok mengenai beberapa fasa perancangan hidup, tahun ini. Bukan saja mengenai kehidupan peribadi, tetapi juga kerjaya,” katanya kepada BH Online.
Saleha dan Lutfi mengikat tali pertunangan pada 26 November tahun lalu. EH! ucapkan tahniah buat Siti Saleha dan pasangan. Semoga segala perancangan berlangsung dengan baik dan semuanya dipermudahkan urusan hendaknya.