Dunia hiburan dikejutkan dengan khabar paling manis tahun ini apabila pasangan pujaan ramai, Zendaya dan Tom Holland, dilaporkan sudah pun selamat bernikah!
Berita eksklusif ini didedahkan sendiri oleh stylist kesayangan Zendaya, Law Roach ketika ditemui di karpet merah Anugerah Actor 2026.
“Perkahwinan itu sudah pun berlangsung. Kamu terlepas!”, kongsi Law Roach. Walau bagaimanapun, wakil kedua-dua bintang ini masih belum memberikan sebarang kenyataan rasmi kepada media.

Peminat sebenarnya sudah menghidu bibit bahagia ini sejak Zendaya memperagakan cincin pertunangan lima karat rekaan moden potongan east-west ketika menghadiri Golden Globe Awards di Beverly Hills pada Januari 2025. Momen itu menjadi sensasi apabila pelakon Dune tersebut melangkah anggun di karpet merah sambil mempamerkan kilauan pada jari manisnya.
Sehari selepas itu, sumber mengesahkan kepada media bahawa Holland telah melamar Zendaya pada musim cuti penghujung tahun 2024. Difahamkan, bintang Uncharted itu melutut dengan penuh romantik dalam suasana intim bersama keluarga terdekat.

Walaupun bertunang, pasangan ini sebelum ini dilaporkan tidak terburu-buru untuk melangsungkan perkahwinan. Sumber terdekat memberitahu bahawa mereka mahu menikmati fasa pertunangan tanpa tekanan. Malah, Law Roach berkongsi bahawa Zendaya sedang sibuk dengan enam projek filem besar, termasuk francais epik seperti Dune.
Law Roach juga menegaskan bahawa pasangan ini berusaha untuk mengekalkan privasi, terutamanya dalam hal berkaitan hubungan dan perancangan majlis mereka.

Kisah cinta “Tomdaya” bermula pada tahun 2017 selepas mereka bertemu di set penggambaran Spider-Man: Homecoming. Sejak itu, hubungan mereka berkembang perlahan-lahan jauh daripada perhatian umum, dengan hanya beberapa kemunculan bersama di acara rasmi.
Daripada rakan sekerja kepada pasangan hidup, kisah mereka benar-benar bagaikan skrip filem romantik Hollywood — penuh kesabaran, kesetiaan dan saling menyokong kerjaya masing-masing.
Baca: Selebriti Asia Yang Raih Pengiktirafan Di Hollywood Walk of Fame
