Eyka Farhana menyelusuri ruang revolusi, tidak mahu lagi membazirkan masa dengan hal nan sia-sia. Kini mahu lebih serius kerana baginya sudah banyak peluang terlepas. Dengan bakat dan komitmen nan jitu, pastinya dia akan jadi aktres pelapis masa depan. She next in line!
Arahan Seni & Penata Gaya KHAIRUL ABIDIN Pembantu Penyelaras JOHAN KASSIM Gambar EDMUND LEE Solekan KHIR KHALID Dandanan YUSOF RUZAIMI
Eyka Farhana bukan nama baru dalam lapangan seni lakon. Sudah lebih 10 tahun ‘pengabdiannya’ pada dunia seni. Hendak kata terlalu popular, tidak, namun dia sentiasa ada. Naskhah lakonannya sering menghiasi kaca TV, malah sudah pernah berlakon dengan produksi Indonesia. Saat ini drama terbarunya, Budak Tebing 2 sedang bersiaran di TV3 menerusi slot Lestari. Bergandingan dengan Aedy Ashraf dan Adam Lee, siri ini pastinya menjadi teman khalayak sepanjang PKP. Menurut Eyka dia masih berbaki beberapa hari penggambaran untuk Dukun Diva yang Bakal disiarkan di Astro Prima. Berbeza dengan watak yang digalas sebelum ini, karakter Lola yang digalasnya berbeza 360, tidak seperti sesteengah watak yang sebahagiannya ada di dalam dirinya, watak Lola memerlukan transformasi baik dari segi bahasa tubuh, intonasi bicara juga riak wajah.
Wan Atiqa Farhana Wan Sarmizi, berbintang Aquarius, orangnya genit. “Mudahkah mencari baju?” Saya bercanda dengannya. “Tidak semua baju sesuai, mencari yang nampak terletak bukan mudah. Jika oversized pula jika salah pakai boleh nampak macam baju pinjam. Dulu saya lebih cenderung menggayakan dress, jean dan baju-t. Tapi ketika ini saya sudah berani mencuba lebih banyak jaket. Jika mahu nampak sedikit berisi Eyka sarung sweatshirt, jika seluar pula Eyka cuba mom’s jeans. Tidaklah nampak kaki Eyka yang keding ni,” dia bergurau. Kongsi Eyka, dia banyak melihat gaya Ariana Grande dan Selena Gomez, kedua-duanya petit jadi lebih mudah untuk dia terasa dekat dengan gaya yang idola dunia itu gayakan. “Eyka tidak terikat pada satu stail, Eyka lebih cenderung bergaya bersandarkan pada mood,” tambah gadis Silky Girl ini. Sudah empat tahun Eyka mewakili jenama alat solek remaja ini.
Sudah bergiat aktif di lapangan seni melangkaui sedekad, apakah yang dipelajari dan sejauh mana ia merubah personaliti Eyka Farhana? Semakin selesa dengan apa yang dikerjakan hari ini?
Eyka tak berani mahu katakan yang Eyka semakin selesa, kerana setiap tugasan atau tawaran yang datang akan ada cabaran tertentu. Setiap karakter berbeza dan memerlukan penghayatan berlainan. Di bahu Eyka tergalasnya cabaran untuk mengolah watak yang datang. Setiap hari akan ada hal baru yang dipelajari dan berpandukan pengalaman sebelum ini, setiap set akan ada ilmu baru yang Eyka dalami. Dalam hidup proses pembelajaran itu tidak berpenghujung.
Setiap yang kita kerjakan,bila sudah jadi rutin ia akan jadi sangat sebati dalam diri. Orang kata ala bisa tegal biasa, bila sudah terbiasa tiada apa lagi yang mustahil. Bila sesuatu hal itu sudah lazim dalam diri pasti ada impak tersendiri. Bagaimana pula dengan Eyka, apa yang Eyka belajar selama bergelanggang di laman seni?
Terlalu banyak yang Eyka belajar. Jika orang yang mengenali Eyka dari awal Eyka masuk ke bidang ini, mereka pasti sedar akan perubahan yang ada pada diri Eyka. Sebelum ini Eyka banyak mengambil mudah akan banyak hal. Terasa enteng dan tidak ambil serius. Hari ini, banyak yang berubah, Eyka mula sedar banyak hal yang Eyka terlepas.
Contohnya?
Pada usia 26 tahun ini Eyka mula sedar yang Eyka tak boleh main-main. Setiap apa yang datang Eyka perlu ambil serius dan fokus. Itu yang banyak ingatkan pada diri Eyka setiap Hari. Bila kita fokus akan lebih mudah untuk kita dapat apa yang kita hajatkan. Lagi satu, tidak tahu sebab PKP atau tidak, hari ini Eyka mula sedar yang sebelum ini Eyka tidak banyak luangkan masa bersama keluarga. Eyka mula sedar pentingnya untuk Eyka ada masa berkualiti dengan mereka. Banyak masa yang Eyka telah bazirkan sebelum ini.
Tahun lalu Pretty Little Liars versi Indonesia muncul di Viu. Siri yang diadaptasi dari siri popular Amerika yang dibintangi oleh Troian Bellisario, Shay Mitchell dan Lucy Hale itu ditunjangi pelakon remaja Indonesia dan Eyka Farhana. Penglibatan Eyka di dalam siri produksi Indonesia itu telah menyajikan satu pengalaman luas buat Eyka. Menariknya Pretty Little Liars turut menggondol anugerah di ContentAsia Awards 2020 menerusi kategori Best TV Format Adaptation.
Bagaimana pintu penglibatan Eyka dalam pretty Little Liars boleh terbuka?
Tidak diduga, dan agak random sebenarnya. Semuanya bermula bila Eyka menerima satu kiriman mesej di Instagram tentang pencarian pelakon untuk satu produksi di Indonesia. Mereka minta Eyka hantarkan video lakonan untuk casting. Awalnya agak sangsi sebab tawaran ini datang dari kotak mesej Instagram bukan dari e-mel mahupun datang melalaui pengurus saya waktu itu. Tapi saya sekadar mencuba, dua minggu selepas submit video casting, saya diterima.
Bagaimana pengalaman melangsaikan watak Ema?
Jujur Eyka cakap memang pernah terlintas dalam fikiran untuk berlakon dengan produksi luar, Indonesia ke, Singapura ke tapi memang tidak sangka tawaran betul-betul datang. Mengapa tidak untuk saya terima bila ada peluang. Jujur Eyka cakap, sebelum terlibat dengan siri ini Eyka sendiri bukanlah pengikut Pretty Little Liars. Lagi satu bila kita bawa watak adaptasi ini ialah kita tidak boleh lari jauh dari karakter asal. Pasti akan berlaku perbandingan dengan watak asal. Bekerja dengan produksi di sana tidak banyak bezanya dengan kita di sini cuma mungkin kerana ini adalah siri adaptasi jadi mereka lebih teliti. Setiap scene akan ada coach yang akan melatih setiap pelakon. Bahkan Sebelum masuk ke set akan ada rehearsal sekali lagi. Cara ini memudahkan setiap pelakon menyampaikan apa yang pengarah mahukan.
“Andai diikutkan versi asal memang ada adegan-adegan yang agak keterlaluan, jadi dari awal lagi Eyka dah tetapkan syarat bahawa Eyka tidak akan lakukan adegan bercium.”
Eyka make it clear dan mereka faham. Walaupun mereka bercadang untuk gunakan trik kamera, tapi Eyka tak mahu kerana tidak semua orang faham apa itu trik kamera. Sebelum sebarang isu berbangkit, lebih baik Eyka elak.
Eyka Farhana membuka langkah masuk ke dunia seni lakon seawal usia 16 tahun. Ketika masih di bangku sekolah dia mula belajar apa itu three two one action. Sampai ke Hari Ini sudah lebih sedekad nama Eyka Farhana berlegar dalam gelanggang seni. Namun pastinya ada sebab yang membuat Eyka mahu menjadikan bidang ini sebagai kerjaya. Apa yang membuka hati Eyka untuk terus berada di sini selepas 10 tahun?
Mulanya sekadar suka-suka. Seperti apa yang Eyka kongsikan sebelum ini, ketika muda Eyka tidak ambil serius banyak perkara. Semuanya dibuat atas suka-suka atau untuk seronok saja. Tapi bila umur menjangkau 23 tahun Eyka mula sedar dan ambil serius. Untuk buat apa-apa Eyka mesti kena suka dengan benda tu, dan Eyka memang suka berlakon. Jadi bila dah dapat apa yang Eyka suka, Eyka kena serius, buat sungguh-sungguh. Eyka juga dah jadikan lakonan sebagai mata pencarian jadi perlu fokus.
Perlukah kontroversi untuk membuat seseorang selebriti itu kekal relevan?
Mahu menonjol atau kekal disebut-sebut atas sebab kontroversi itu pilihan masing-masing. Ya, Eyka dulu juga pernah terkait dengan kontroversi tapi bagi Eyka itu adalah hal yang semahunya dielakkan. Rasanya orang akan lebih hargai kita jika kita dikenali atas nilai kerja kita sendiri. Sekarang ini zaman media sosial, ada cara untuk buat orang lebih kenal dengan diri kita.
Sebelum ini Eyka diuruskan organisasi pengurusan artis, namun lebih setahun lalu dia mengambil keputusan untuk bergerak sendiri. Mengapa memilih menguruskan semuanya sendiri?
Bila merencana kerja secara sendiri, ada lebih ada kurangnya, kadang-kadang mudah adakalanya tidak. Beruntung Eyka ada adik yang membantu. Sebelum ini mungkin ada yang sukar mencari saya atau tidak tahu dengan siapa harus mereka berurusan. Hari Ini bila mereka boleh hubungi saya secara terus. Buat masa ini, saya selesa begini. Tapi siapa tahu lagi dua tiga tahun bila sudah lelah melakukan semuanya sendiri mungkin akan ada yang akan menguruskan hal kerjaya saya.
Pada usia 26 tahun apa lagi yang mahu Eyka perbaiki?
Terlalu banyak yang mahu diperbetulkan. Pertama mungkin attitude Eyka. Seperti yang Eyka cakapkan tadi, dulu Eyka terlalu banyak main-main, semuanya diambil sambil lewa. Eyka tidak menjaga masa dan kurang disiplin, seharusnya Eyka berikan 100 peratus komitmen.
“Terlalu banyak peluang dilepaskan. Ada masanya Eyka bermonolog sendirian, bisik dan ingatkan diri sendiri. Eyka perlu disiplin, komited, fokus dan beri energi sepenuhnya bila bekerja.”
Bila balik dari penggambaran kebelakangan ini saya akan muhasabah diri, tanya pada diri cukup baikkah apa yang Eyka lakukan di set tadi. Adakalanya tengok lakonan sendiri pun malu. Selalu juga Eyka rasa ‘terduduk’ dengan diri sendiri. Ada sampai satu peringkat terasa useless, rasa terlalu banyak yang kurang.
Untungnya Eyka ada Kawan baik iaitu emak Eyka sendiri. Dia orang yang boleh mendengar cerita Eyka dari A to Z, bukan saja hal kerja, kisah peribadi juga Eyka kongsi dan bercerita dengannya. Bila berkongsi dengan Emak, semangat kita akan cepat kembali. Emak pula seorang yang sangat memahami, bila ada Eyka ada masalah dia akan datang ke rumah dan bermalam dengan Eyka. Dalam hidup kita memang perlu ada sokongan, jika ada masalah usah pendam, kita perlu kongsi dengan orang lain, bercerita. Itu akan buat kita rasa lega.
Menuju usia 30 tahun empat tahun lagi, apa yang ingin dicapai?
Terlalu banyak, dan masih jauh lagi perjalanan untuk mendakap apa yang Eyka hajatkan. Pernah berhajat memiliki perniagaan sendiri, tapi keadaan ekonomi saat ini tidak mengizinkan, dan sejujurnya Eyka sendiri masih keliru apa perniagaan yang mahu Eyka jalankan. Rasanya mahu buka produksi sendiri. Eyka mahu cari sesuatu yang dekat dengan jiwa Eyka.
Eyka bertubuh genit, adakah ini satu batas yang menyekat peluang Eyka untuk watak-watak yang lebih ‘besar’ dan serius?
Ada ya ada tidak. Bergantung bagaimana Eyka melihat situasi ini. Apa yang bagusnya mungkin bila usia 30 tahun Eyka masih berpeluang untuk melakonkan watak muda Belia, kalau muka Eyka tak berkedutlah… hahaha. Tapi satu yang Eyka percaya, rezeki ada di mana-mana. Setiap orang miliki lebih dan kurangnya.
Bagaimana rencana untuk kekal relevan?
Berlakon dan terus berlakon, dan cari peluang untuk perbaiki diri. Profesionalism, cara kita bekerja, disiplin perlu dijaga. Kita bukan hanya perlu relevan di mata penonton sahaja, tapi di mata produksi juga. Eyka perlu komited. Setiap hari akan ada orang baru muncul dan Eyka tidak melihat ini sebagai satu pertandingan. Ini semua ada kaitannya dengan rezeki. Eyka beri contoh Liza Abdullah, walaupun tidaklah semua drama yang dia lakonakan mencatat rating tinggi, tapi dia selalu ada di kaca TV. Untuk kekal relevan bukanlah hal yang mudah tapi Eyka percaya pada rezeki, usaha dan komited.
Sebelum kita tamatkan temubual ini, apa yang boleh Eyka cerita tentang Akhyar Rashid, lelaki yang dilihat begitu rapat pada waktu ini. Apa yang boleh dikongsikan dengan pembaca EH! tentang hubungan dengan pemain bola JDT itu?
Hahaha… Alhamdulillah, setakat ini semuanya baik-baik saja. Apa yang boleh dikatakan, kami di peringkat untuk mengenali satu sama lain. Dia lebih muda dari saya namun pemikirannya matang. Hubungan kami jarak jauh, jadi lebih banyak berhubung menerusi telefon. Tidak selalu berjumpa tapi Eyka lihat ini satu peluang untuk kami ada ruang untuk diri masing-masing, dan situasi ini Eyka rasa ini lebih menyenangkan, kami masing-masing dalam fasa mengejar impian masing-masing. We‘re supporting each other.