Sempena ulang tahun kelahirannya yang ke-25, Sufian Suhaimi dikatakan telah menerima kejutan istimewa dari Elfira Loy.
Sufian yang dilihat agak rapat dengan Elfira lewat kebelakangan ini menerima pelawaan untuk menaiki helikopter bersamanya selama 20 minit di atas awan. Pada mulanya, Elfira dikatakan mengajaknya untuk bersarapan pagi dengan hidangan nasi lemak di Kuala Lumpur dan kemudian dia mula mengajak Sufian untuk menaiki helikopter.
Setelah itu, Sufian diajak menemani Elfira yang menyatakan konon dirinya mempunyai sesi fotorgrafi di The Shorea, Seremban bersempena Aidilfitri. Namun sebenarnya ia adalah majlis kejutan sambutan ulang tahun kelahiran untuk Sufian.
Majlis itu turut dihadiri oleh teman rapat penyanyi lagu Terakhir itu. Elfira yang berjaya memperdaya Sufian untuk membawanya ke majlis kejutan itu berasa bersyukur kerana ia berjalan dengan lancar. Kerana katanya ia agak sukar untuk dirinya mengumpulkan teman-teman rapat Sufian di sana dek kerana majoriti berada di luar ibu kota.
“Pada majlis itu, ada teman pengajiannya dari Terengganu dan Johor. Selain mereka, majlis turut dihadiri adik-beradiknya,” kata Elfira kepada BH Online.
Menurut laporan BH Online lagi, Elfira mengatakan yang Sufian adalah cukup istimewa baginya. Dia turut mengaku yang lelaki tersebut sememangnya agak rapat dengannya pada masa ini.
“Apa yang boleh saya cakap, dia memang istimewa. Ketika ini, dia antara lelaki yang rapat dengan saya. Dia datang dalam hidup saya dengan cara baik. Saya dan dirinya cuba menikmati detik ini sebaik mungkin. Cuma, kalau ditanya lebih-lebih, memang tak timbul soal kami cuba menutup sesuatu cerita atau sebaliknya. Kami hanya mengikut aliran rentak masa. Apa yang saya lakukan kepadanya hari ini juga kerana dia seorang yang sangat baik,” kata Elfira.
Tidak mahu melabelkan hubungan mereka sebagai sebuah percintaan, Sufian menyatakan yang mereka belum ada sebarang perancangan ke arah bertunang mahupun ke arah yang lebih serius.