Zaki Azeman Berkongsi Berita Kehamilan Bersama Peminat
Februari lalu aktor berusia 29 tahun itu mendedahkan bahawa isterinya sedang hamil dan mereka bakal menimang cahaya mata sulung pada bulan Syawal. “Bismillahirrahmanirrahim, aku terima orang ketiga sepenuh hatiku,” tulisnya ringkas di Instagram berserta #ZRJunior.
Dia turut berkongsi alahan teruk yang dialami adik kepada penyampai radio Jaa Suzuran itu pada awal kehamilan. “Tiga bulan pertama, isteri memang mengalami alahan teruk sehingga kerap muntah. Ada ketika dia merajuk kerana saya tidak dapat membantunya yang sedang muntah di tengah malam disebabkan terlalu lena tidur.”
Sama seperti kebanyakan wanita hamil, Raa Suzuran juga mengidam sesuatu yang tidak disukainya sebelum ini. “Dia sudah mula suka minum Milo selepas menikmatinya ketika kami di Kundasang, Sabah. Manalah saya nak cari lori Milo?” katanya menurut MStar.
Pasangan itu mendirikan rumah tangga pada 29 Mei 2022 selepas tiga bulan mengikat tali pertunangan. Perkenalan mereka bermula melalui Instagram sebelum bercambah menjadi cinta menerusi minat sama dalam permainan video atas talian.
Baca: Selamat Bersalin, Raja Ilya Pilih Nama Unik Buat Cahaya Mata Pertama