Di sebalik cahaya spotlight dan dunia glamor, tersembunyi sisi lain yang ramai tidak tahu. Ramai idol K-pop sebenarnya memiliki bakat seni luar biasa, melangkaui visual sempurna, vokal memukau dan koreografi bertenaga mereka di pentas.
Ramai menyangka kehidupan seorang idol hanya berkisar pada nyanyian, tarian dan penampilan pentas. Namun di sebalik gemerlapan dunia hiburan, tersembunyi sisi peribadi yang jarang didedahkan iaitu bakat seni yang membuktikan mereka adalah insan kreatif yang versatil, jauh melangkaui stereotaip idol biasa. Walaupun seni visual bukan kebiasaan dalam kalangan idol, ada beberapa nama yang benar-benar menyerlah bak pelukis profesional.
Ya, ada idol yang bukan sekadar memukau di pentas, malah mampu menghasilkan karya seni yang layak digantung di dinding galeri. Mereka menjadikan kanvas sebagai ruang ekspresi diri dan inilah lima nama yang bukan sahaja menguasai dunia hiburan, tetapi juga dunia seni visual dengan identiti dan sentuhan tersendiri.
Jungkook (BTS)
Digelar golden maknae, Jungkook bukan sekadar idol serba boleh yang menguasai vokal, rap, tarian dan sukan malah turut memiliki bakat luar biasa dalam seni visual. Ramai yang mungkin terkejut, namun bakat seninya bukan muncul secara tiba-tiba. Abangnya, Jeon Junghyun, juga seorang pelukis berbakat yang sering berkongsi karya seninya di media sosial, menunjukkan bahawa kreativiti memang mengalir dalam darah keluarga mereka.
Dalam siri BTS In The Soop, Jungkook menunjukkan sisi seninya dengan melukis potret SUGA dan pemandangan yang membuatkan ramai peminat kagum. Gayanya melukis tenang berbeza daripada imej bertenaganya di atas pentas. Jungkook juga pernah mempertimbangkan untuk menjadi pelukis atau artis visual sebelum debut bersama BTS.
Seulgi (Red Velvet)
Di sebalik persona pentas dan gerak tari yang bertenaga, Seulgi sebenarnya menyimpan sisi seni yang lebih peribadi. Graduan dari School of Performing Arts Seoul ini bukan sekadar vokalis dan penari utama Red Velvet, tetapi juga seorang pelukis yang berbakat. Dalam Red Velvet Level Up Project dan beberapa vlog rasmi, peminat berpeluang melihat Seulgi melakar potret dan figura kegemarannya.
Dikenali sebagai quiet force dalam kumpulan, Seulgi menjadikan seni sebagai medium ekspresi diri. Lukisannya sering memaparkan figura ikonik seperti Audrey Hepburn dan Billie Eilish dua wanita yang menginspirasinya dari segi gaya dan keperibadian. Dia juga pernah menyuarakan impian untuk memiliki pameran seni sendiri satu hari nanti.
Mino (WINNER)
Rapper dari WINNER ini bukan hanya dikenali kerana karisma pentas dan gaya fesyennya yang berani, Mino atau nama sebenarnya Song Minho juga merupakan seorang artis visual yang diiktiraf. Dia menggunakan nama samaran Ohnim (MINO yang dieja terbalik) dalam dunia seni. Pada tahun 2019, Mino melakar sejarah sebagai idol K-pop pertama yang dijemput menyertai Special Exhibition for Emerging Artists di Gallery for the Korean Eye 2020, sebuah acara seni kontemporari bertaraf antarabangsa.
Gaya lukisan Mino selalunya dalam gaya abstrak ekspresionis memaparkan pergelutan emosi, pencarian identiti, dan elemen simbolisme yang kuat. Warna-warna kontras dan tekstur dramatik mencerminkan sisi peribadi yang jarang dilihat di pentas muzik. Malah, karyanya pernah dipamerkan bersama artis seni terkenal Korea dalam galeri seperti SEMO Gallery dan Seoul Arts Center.
Hyunjin (Stray Kids)
Bakat Hyujin dalam bidang lukisan pernah menjadi bualan apabila dia memuat naik proses melukis di atas kanvas minyak bertajuk 공중 (In the Air) dan membagikannya di Instagram rasmi Stray Kids dan tidak sangka, pelakon Hollywood Hugh Jackman sendiri memberi pujian kepada bakatnya dengan komen “An amazing artist you are.”
Hyunjin gemar memilih figura manusia dan lanskap alam sebagai subjek utama, dua elemen yang membuka ruang untuk dia menyalurkan emosi secara jujur dan mendalam dalam bentuk lukisan. Karya-karyanya kerap dimuat naik di Instagram dengan tanda #hyunpic, bagaikan sebuah galeri digital eksklusif buat peminat yang mempamerkan sisi introspektif dan puitis yang tidak gentar mengekspresikan dirinya melalui seni.
Minghao (SEVENTEEN)
Minghao atau The8 daripada SEVENTEEN pernah mengejutkan ramai peminat apabila sebelas karya lukisannya dipamerkan di StART Art Fair, Saatchi Gallery London iaitu sebuah galeri seni moden yang berprestij di peringkat dunia. Lukisan-lukisan abstraknya seperti Dreams Come True dan Heart Made of Stone menampilkan sisi peribadi serta emosi yang mendalam.
Selain seni lukis, Minghao juga aktif sebagai jurufoto dan sering berkongsi imej-imej artistik di akaun Instagram yang tersusun rapi seakan galeri digital. Hasil karyanya yang turut dimuat naik di Weibo. Dia juga terlibat dalam mereka barangan rasmi SEVENTEEN, menjadikan setiap koleksi bukan sekadar merchandise untuk peminat, malah hasil seni yang mencerminkan identitinya.
Artikel Berkaitan: Selebriti Korea Yang Dikecualikan Dalam Khidmat Tentera