Berita perit buat penggemar muzik tanah air, Tan Sri SM Salim kini dilaporkan tenat di kediaman anaknya yang terletak di Ukay Perdana.
Biarpun ada seketika beliau membuka matanya, tetapi kini beliau kembali tidak sedarkan diri. Kediaman anaknya itu kini sudah dibanjiri dengan sanak-saudara serta rakan-rakan artis yang datang untuk melawat beliau. Rata-ratanya hadir dengan membacakan surah Yassin buat SM Salim.
Walaupun sedang tenat sekarang ini, SM Salim masih lagi boleh bernafas secara normal tanpa bantuan pernafasan. Menurut anak penyanyi lagu Pantun Budi ini, Shamsul Salim, bapanya hanya membuka mata pada jam 8 malam semalam dan kemudian kembali tidak sedarkan diri.
Antara rakan artis yang turut hadir melawat termasuklah Datuk Jamal Abdillah, Datuk Ramli MS dan Fauziah Nawi. Berdasarkan laporan BH Online, SM Salim pernah merancang untuk menyanyi lagi serta membuat rakaman baru.
Perkara itu disampaikan oleh Datuk Ramli MS. “Walaupun kami sudah lama tak berjumpa, tetapi, masih berhubung. Dia pernah cakap pada saya nak menyanyi lagi dan nak buat rakaman,” ujarnya kepada BH.
Tan Sri SM Salim pernah berduet dengan ramai penyanyi tanah air yang cukup terkenal. Antaranya termasuklah Datuk Siti Nurhaliza, Sheila Majid dan Zainal Abidin.