Taylor Swift, BTS, Billie Eilish dan Harry Styles antara 22 artis yang telah diumumkan untuk membuat persembahan pada Anugerah Grammy ke-63 yang akan berlangsung pada 14 Mac 2021.
Saat yang dinanti-nantikan peminat muzik bakal menjelma pada 14 Mac ini! Recording Academy telah mengumumkan barisan artis yang akan memeriahkan Anugerah Grammy 2021 dan ia tidak mengecewakan. Bintang pop, Taylor Swift dan kumpulan gergasi K-pop, BTS antara 22 persembahan yang telah diumumkan dalam meraikan acara kali ini.
Taylor Swift dan BTS akan berkongsi pentas bersama Billie Eilish, Harry Styles, Cardi B, Chris Martin, John Mayer, HAIM, Megan Thee Stallion, Post Malone dan Maren Morris. Pengumuman yang dilakukan melalui platform media sosial itu juga telah menggembirakan peminat BTS yang digelar ARMY. BTS yang telah menerima pencalonan pertama mereka akan membuat persembahan kedua mereka pada anugerah berprestif kali ini.
Menurut penerbit eksekutif Grammy kali ini, tidak semua persembahan akan dilakukan secara langsung. Sebaliknya, beberapa artis akan merakamkan persembahan mereka terlebih dahulu. Pemuzik yang akan membuat persembahan secara langsung pula aknn dibahagikan kepada empat pentas berbeza.
Acara tahun ini akan diadakan di dalam dan sekitar Los Angeles Convention Center dalam protokol Covid-19 yang ketat. Berbeza dari tahun-tahun terdahulu, acara tahun ini hanya akan dihadiri terhad kepada artis yang menerima pencalonan dan yang akan membuat persembahan sahaja. Jumlah penonton juga dikecilkan dalam menjaga keselamatan bersama.
Walau bagaimanapun, Beyonce yang mendahului dengan sembilan pencalonan tahun ini tidak akan membuat persembahan. Hos ‘The Daily Show, Traver Noah pula akan menggalas tanggungjawab sebagai pengacara Anugerah Grammy ke-63 yang boleh disaksikan secara langsung melalui CBS dan saluran penstriman Paramount+.
Baca lebih lanjut: Retrospektif ‘Dreams & Reality’ Antara BookXcess Dan Dato’ Sri Bernard Chandran