Pada 2017, Taylor Swift disaman kerana dikatakan memplagiat lirik lagu Shake It Off.
Dan beberapa hari lalu, Swift disaman sekali lagi kerana didakwa mencuri nama taman tema untuk judul album terbaharunya.
Pihak pengurusan taman tema Evermore yang terletak di Utah, Amerika Syarikat mengambil tindakan undang-undang terhadap penyanyi Willow ini kerana menciplak tanda dagang milik mereka.
Mereka mendakwa, penggunaan nama Evermore menyebabkan ramai keliru dan menyangka album terbaharu Swift mempunyai kaitan dengan taman tema tersebut. Menurut dokumen mahkamah yang difailkan minggu lalu, pihak taman tema menuntut ganti rugi berjuta-juta dolar.
Swift melancarkan album Evermore pada Disember tahun lalu yang merupakan album keduanya untuk tahun 2020. Ia berjaya menduduki tempat pertama di carta Billboard Top 2020 sebanyak dua kali.
Taman tema yang dimaksudkan terletak kira-kira setengah jam perjalanan dari Salt Lake City dan namanya mendapat inspirasi daripada tema perkampungan Eropah yang penuh fantasi.
Menerusi tuntutan tersebut, pihak taman tema dan Ketua Pegawai Operasi, Ken Bretschneider mendakwa telah melabur kira-kira RM150 juta dalam pembinaan dan promosi taman tema dan tanda dagang Evermore.
Dan kini, perniagaan dan reputasi mereka tercalar disebabkan album Swift. Malah, laman web mereka turut mengalami kesesakan trafik sejak album itu dilancarkan. Swift turut diselar kerana menjual merchandise menggunakan tanda dagang yang dipatenkan mereka.
Dikenali sebagai gadis yang tidak gentar bersuara, sudah tentu penyanyi ini tidak berdiam diri. Peguam yang mewakili Swift meyifatkan saman itu tidak berasas dan pihak taman tema telah pun menghadapi masalah kewangan lama sebelum album Evermore dikeluarkan.
“Penggunaan nama Evermore tidak langsung mengganggu perniagaan mereka sebaliknya Taylor memberi ‘promosi percuma’ terhadap taman tema itu yang sememangnya sudah lama bermasalah,” kata peguam.
Taman tema Evermore mula beroperasi sejak 20 September 2018.
Foto: Chelsea Lauren/Shuterstock
Baca: Artis Pertama Dengan Lima Album Tahunan, Taylor Swift Cipta Sejarah Tersendiri