Taylor Swift terus menambah satu lagi pencapaian besar dalam kariernya. Dengan nilai kekayaan dianggarkan mencecah AS$2 bilion, Taylor kini secara rasmi menjadi pemuzik wanita terkaya dalam sejarah.
Sukar untuk membayangkan industri muzik moden tanpa Taylor Swift. Sepanjang hampir dua dekad dalam industri, penyanyi itu bukan sahaja mendominasi carta muzik, malah berjaya membina jenama yang mampu mengubah setiap album, konsert dan projek menjadi global sensation.

Daripada Fearless hingga The Eras Tour, setiap era Taylor Swift hadir dengan impak besar. Apa yang membezakan Taylor daripada kebanyakan selebriti bilionair lain adalah kekayaannya dibina hampir sepenuhnya melalui muzik, termasuk jualan album, royalti dan tour.
Taylor pertama kali mencapai status bilionair pada 2023 sebelum nilai kekayaannya terus melonjak hasil kejayaan luar biasa. Tour kali ini bukan sahaja menjadi yang paling menguntungkan dalam sejarah, malah membuka ruang untuk Taylor mengembangkan lagi empayar muziknya.
Salah satu keputusan paling penting dalam kariernya adalah membeli semula rakaman master bagi enam album pertamanya pada 2025. Ditambah dengan kejayaan projek Taylor’s Version, strategi tersebut membolehkan Taylor memiliki kawalan penuh terhadap karya-karyanya serta memperoleh lebih banyak hasil stream dan pelesenan muzik.

Selain muzik, Taylor turut meraih keuntungan besar menerusi filem konsert Taylor Swift: The Eras Tour yang dibiayai sendiri olehnya. Gabungan konsert, katalog muzik dan pelbagai projek berkaitan menjadikan Taylor bukan sahaja pemuzik wanita terkaya dalam sejarah, malah antara figura paling berpengaruh dalam industri hiburan hari ini.
Kejayaan tersebut turut meletakkan Taylor di hadapan ramai nama besar dalam industri muzik. Walaupun masih berada di belakang Jay-Z dari segi jumlah kekayaan keseluruhan, Taylor kini memegang gelaran sebagai pemuzik wanita terkaya dalam sejarah.

Lebih menarik, pencapaian itu diraih tanpa bergantung kepada jenama kosmetik atau fesyen seperti kebanyakan selebriti bilionair lain. Sebaliknya, muzik kekal menjadi aset terbesar Taylor, membuktikan bahawa katalog lagu, pemilikan karya dan hubungan kuat dengan peminat boleh menjadi formula yang sangat menguntungkan dalam industri hiburan moden.
Dalam era di mana ramai artis mencari pendapatan di luar muzik, Taylor membuktikan bahawa lagu-lagu yang dimiliki sendiri masih boleh menjadi aset paling bernilai. Dengan pengaruh yang terus berkembang, angka AS$2 bilion mungkin bukanlah noktah terakhir dalam perjalanan kerjayanya.
