Oleh: Farhana Fuad
Gambar: Istana Budaya
Teater Mak Cun belum sempat mengakhiri lagi tetapi Erma Fatima sudah mendapat projek terbaru untuk arahannya dalam teater seterusnya iaitu Bawang Putih Bawang Merah. Pentas Istana Budaya bakal menampilkan teater berkisah klasik ini bermula 3 Disember sehingga 8 Disember 2015 ini.
Menerusi teater klasik ini, Erma Fatima sebagai pengarah membawakan barisan selebriti tempatan dan Indonesia yang agak terkenal dalam industri hiburan masa kini. Antara barisan selebriti yang bakal mementaskan filem melayu lama ini adalah Syarul Ridzwan sebagai Putera Raja, Juliana Evans sebagai Bawang Putih, Nur Fathia Latiff sebagai Bawang Merah, Nabila Huda sebagai ibu kepada Bawang Putih, Fazlina Ahmad Daud sebagai ibu kepada Bawang Merah, Beto Kusyairy sebagai Bongkok dan Tya Arifin sebagai Melur, sahabat baik kepada Bawang Putih.
“Sebenarnya teater Bawang Putih Bawang Merah ini sepatutnya dipentaskan pada tahun lalu. Saya keluarkan naskhah ini sebenarnya untuk Tahun Melawat Malaysia, tetapi tidak kesampaian dan akhirnya ia ini bakal menjadi realiti apabila saya memberikan ianya kepada wanita yang terkenal kini dengan gelaran Mak Cun (Erma Fatima),” ujar Datuk Mohamed Juhari Shaarani, selaku Ketua Pengarah Istana Budaya.
Ketika sidang media teater ini, Erma selaku pengarah diajukan soalan adakah memang disengajakan untuk menggunakan pelakon-pelakon berwajah komersial untuk menarik perhatian ramai dan Erma menjawab “Ya. Saya mengaku ya. Buat apa saya susah-susah tunggang terbalik siang malam rehearsal tetapi tidak ada orang yang datang tengok? Saya ambil peduli pasal naskhah yang saya buat ini dan saya mahukan orang ramai datang tonton. Jadi, kalau mereka ini di barisan pelakon ini yang boleh dinaikkan, ya saya gunakan mereka untuk melariskan teater ini. Tetapi dalam waktu yang sama, saya mahu pelakon-pelakon di Malaysia ini mendapat pengalaman berlakon pentas dan berlakon pentas itu adalah asas dalam lakonan. Jadi, setidak-tidaknya dalam naskhah ini mereka akan belajar apa itu lakonan teater. Bukan hanya sekadar menggunakan mereka untuk menarik penonton. Di sinilah cabarannya untuk kita kenal sama ada mereka adalah seorang hebat atau tidak. Kalau mereka gagal di pentas ini maknanya, mereka bukan pelakon yang bagus.”