Jejaka British yang sangat terkenal dengan lagu ‘Say You Won’t Let Go’, James Arthur baru-baru ini singgah ke Malaysia buat satu Showcase yang dianjurkan oleh Sony Music Malaysia, Stars In Sight.
Dia menghiasi pentas dengan gitarnya sambil memainkan beberapa lagu ‘cover’ dan juga lagu daripada albumnya tersendiri ‘Back From The Edge’. ‘Say You Won’t Let Go’ telah berjaya dijual di Malaysia sebanyak lebih daripada 200 ribu dan telah menerima Anugerah Jualan Platinum oleh Sony Music Malaysia. Selepas kejayaan dia sebagai pemenang X-Factor pada tahun 2012, James muncul semula dengan album baru dan terus mengungguli carta muzik di seluruh dunia.
EH! turut dijemput oleh Sony Music Malaysia untuk satu temu bual khas bersama penyanyi tersebut. James yang masih lagi ‘jet lag’ kerana baru sahaja tiba di Malaysia pagi itu masih lagi tenang menjawab soalan-soalan yang ditujukan buatnya.
Baru-baru ini kamu mengeluarkan satu muzik video yang baru iaitu ‘Can I be Him’. Boleh kamu ceritakan lebih lanjut tentang lagu tersebut?
J: Lagu tersebut menceritakan tentang cinta yang tidak berbalas dan anda juga tahu semua orang mungkin telah mencintai atau jatuh cinta kepada seseorang namun mereka sendiri tidak sedar tentangnya. Lagu ini lebih kepada ‘self explanatory’ di mana seseorang itu berasa sedih tentang orang yang mereka inginkan itu.
Antara kesemua lagu dalam album ‘Back From The Edge’, lagu manakah yang merupakan jadi kegemaran kamu?
J: Hmm probably ‘Train Wreck’. Saya dapat rasakan lagu itu merupakan antara lagu yang paling indah dan saya amat berbangga dengan liriknya juga. Salah satu tema dalam album tersebut adalah jujur, jadi lagu seperti ‘Train Wreck’, ‘Finally’ dan ‘Remember Who I Was’ adalah antara yang membuatkan saya rasa seperti tulus, ikhlas dan jujur sewaktu menyanyikannya.
‘Say You Wont’t Let Go’ telah menjadi lagu yang paling disukai oleh ramai orang dan boleh dikatakan sebagai ‘the most successful song’. Bagaimanakah perasaan kamu tentang itu?
J: Good! Apabila saya menulis lirik lagu saya berharap pendengar di luar sana dapat merasai serta memahami apa yang saya cuba sampaikan dalam lagu tersebut. Dengan melihat ramai orang menjadikan lagu saya sebagai sesuatu yang dekat dalam hidup mereka ibarat mimpi yang menjadi kenyataan.
Apakah cabaran yang kamu hadapi sepanjang proses pembikinan album ini?
J: Saya telah kehilangan kontrak rakaman saya dan selepas X-Factor saya turut melalui masa yang boleh dikatakan sangat sukar. Saya juga bergelut dengan beberapa isu-isu kesihatan mental dan saya berasa seperti saya telah kehilangan segala-segalanya. Pada mulanya, idea asal adalah hanya untuk menulis beberapa lagu dan diharapkan untuk membantu memberi inspirasi kepada orang ramai.
Kamu ada berkata mengenai waktu sukar selepas X-Factor, bagaimana kamu teruskan semangat untuk kekal menghasilkan muzik buat peminat?
J: Mungkin disebabkan saya tidak mahir atau punyai bakat yang lain. Tetapi setiap perkara yang sukar saya lalui itu telah memberikan saya semangat yang lebih kuat. Oleh kerana saya sering berasa gementar jadi dengan menghasilkan lagu buat peminat saya, saya berasa lebih tenang. Saya rasa itu adalah antara sesuatu yang perlu saya lalui kerana itu memang sudah takdir saya sebagai seorang pemuzik.
Kamu masih lagi berhubung dengan bekas peserta-peserta X-Factor yang lain?
J: Ya saya masih lagi berhubung dengan Ella Henderson dan juga Rylan
Sepanjang karier kamu sebagai seorang penyanyi, artis mana yang kamu harapkan untuk berkolaborasi bersama?
J: Ramai sebenarnya. Saya berharap dapat berkolaborasi bersama-sama dengan mereka yang sedang ‘hit’ sekarang. Saya merupakan peminat Plan B, Adele dan juga John Mayer.
Apakah definisi lagu yang indah bagi kamu?
J: Pada pendapat saya, lagu yang indah mestilah lagu yang mampu membuat pendengar merasai dan memahami apa yang cuba disampaikan. Lagu yang indah juga mestilah sesuatu yang boleh memberikan kepercayaan dan harapan buat para pendengar. Lagu yang dinyanyikan oleh Miguel dan Adele yang bertajuk ‘Leaves’ dan ‘Make You Feel My Love’ adalah antara lagu yang saya rasakan cukup indah.
Jika dilihat kembali ke masa lalu, adakah kamuakan lakukan sesuatu yang berbeza?
J: Nope. Saya tidak pernah menyesal. Mungkin ada yang pernah saya katakan dahulu yang ingin saya tarik balik. Sebelum ini, ada beberapa perkara yang tidak bertanggungjawab dan kebudak-budakan yang telah saya lakukan dan itu telah menjadi contoh yang tidak baik kepada golongan muda yang ‘look up’ kepada saya ketika itu. Ada juga bahasa tertentu yang tidak elok yang telah saya katakan dahulu yang memperlihatkan saya sebagai seorang yang tidak bertanggungjawab. Saya kesal dengan apa yang saya lakukan tetapi ia juga turut membuatkan siapa saya pada hari ini. I believe everything happens for a reason. Seperti saya katakan sebelum ini, saya telah melalui ‘nervous breakdown’ dan ia adalah sangat sukar buat saya. I went from absolutely nothing to everything overnight. Untuk kembali pulih, saya banyak melakukan ‘self medicating’.
Boleh anda ceritakan serba sedikit bagaimana kamu dapatkan kembali keyakinan?
J: Dengan melihat kembali hasil kerja keras dan titik peluh saya yang telah membawa kejayaan yang begitu banyak, ia telah memberikan saya banyak keyakinan untuk kembali. Saya bekerja keras untuk kembali kepada diri saya yang asal. Saya habiskan berjam-jam di studio hanya untuk mencipta dan menulis lagu. Getting my health back is where it should be.
Nasihat kamu buat mereka yang juga turut mengalami isu kesihatan mental seperti kamu?
J: Nasihat terbaik yang saya mampu berikan adalah untuk jangan terlalu melihat ke depan dan juga ke belakang kerana jika anda terlalu meilihat ke belakang anda akan berasa serba salah dan menyesal dengan apa yang anda telah lakukan sekarang. Jika anda terlalu melihat ke depan anda hanya akan berasa bimbang dan punyai ‘anxiety’. Those who suffers from any mental health disorder needs to take it day by day and live in the now as much as possible.
Teks : Elina Syazlina