Superstar Sezairi mempersembahkan album baharunya ‘Memory’ di Apple Music pada 11 Ogos ini!
Penstriman Apple Music melancarkan siri baharu bertajuk Here’s to the Dreamers sepanjang Ogos untuk meraikan artis berbakat di seluruh rantau Asia Tenggara. Menampilkan barisan artis yang menarik, siri ini akan menceritakan tentang perjalanan mereka melalui muzik, di samping video persembahan secara langsung, hanya tersedia di Apple Music.
Antara selebriti yang bakal muncul ialah penyanyi dari Singapura, Sezairi yang menawan hati penonton dengan muzikal lunak yang tiada tandingan dan lagu-lagu penuh menusuk jiwa. Selain itu, Yuna, selebriti sensasi Malaysia yang telah membuat gelombang besar dalam karier nyanyiannya bakal menyanyikan lirik menyentuh hati, serta penyanyi-penulis lagu Jeff Satur dari Thailand, suaranya bisikan balada yang indah turut bergema dalam Apple Music Live. Sisi lain dari vokalis Indonesia, Ziva Magnolya; penyanyi-penulis lagu Vietnam, GREY D serta Ace Banzuelo dari Filipina.
Apple Music Live, konsert langsung eksklusif dengan persembahan dari artis Asia Tenggara dengan siri ‘Here To The Dreamers‘ menampilkan Sezairi dan selebriti lain.
Pemuzik dan penyanyi-penulis lagu Singapura terkenal, Sezairi melalui Apple Music Live iaitu siri persembahan langsung akan berhubung dengan penonton di seluruh dunia pada 11 Ogos 2023 ini. Dimulakan dengan persembahan eksklusif oleh pemenang musim ketiga Singapore Idol pada 2009, Sezairi turut menyanyikan album baharunya, ‘Memory’ buat kali pertama di Apple Music.
Apakah cabaran yang anda hadapi dalam kerjaya muzik?
Setiap keputusan yang dibuat dalam hidup saya seakan menuju ke arah positif dan tuah. Ia sentiasa sama ada itu atau ini, kerana sebelum ini saya telah mendapat tawaran untuk belajar produksi muzik di sekolah seni dan dalam masa yang sama, saya juga menerima tawaran temu duga untuk pasukan polis. Kedua ini sangat penting dalam kehidupan saya tetapi kerana tidak memiliki wang yang cukup pada masa itu, saya terpaksa lupakan hasrat keduanya sekali. Namun, saya memutuskan untuk terus fokus pada muzik, kerana saya tahu ia adalah sesuatu yang bakal mengubah hidup saya yang kini membawa saya ke tempat saya sekarang. Muzik merupakan sebahagian penting dalam kehidupan saya dan saya tidak pernah terfikir untuk menyerah kalah. Setiap cabaran yang datang pasti akan berakhir dengan senyuman dan kejayaan.
Sebagai artis Asia Tenggara, apakah pengaruh budaya unik yang anda masukkan ke dalam muzik anda?
Perkara yang menarik tentang muzik Asia Tenggara ialah ia merupakan gabungan seni tradisi dan barat. Di mana sahaja anda berada di Asia Tenggara, anda pasti akan mendapat gambaran tentang siapa, apakah jenis dan pilihan muzik yang mereka ada. Terdapat begitu banyak percampuran budaya yang berlaku dan di dalamnya terletak keindahan lirik tentang dari mana kita berasal. Pada zaman dahulu, kami tidak mempunyai banyak pilihan muzik untuk didengari, hanya apa sahaja yang dimainkan di radio pada kebanyakan masa. Oleh itu, saya sentiasa mendalami muzik daripada mendiang hebat seperti P. Ramlee dan Saloma semasa zaman kanak-kanak saya. Kemudian semasa di sekolah muzik, saya telah didedahkan dengan pelbagai muzik dari seluruh Nusantara dan mula mendengar pemuzik seperti MALIQ & D’Essentials dan Barry Likumahuwa.
Secara umumnya, saya secara semula jadi tertarik kepada muzik sedikit nostalgia dan melankolia yang penuh perasaan dan saya turut cenderung untuk memasukkan elemen tersebut ke dalam muzik saya sendiri, yang nampaknya masih diterima oleh pendengar! Ia sememangnya sesuatu yang saya ingin lakukan dari dahulu dan ia tersedia eksklusif hanya di album ‘Memory’.
Bolehkah anda kongsikan detik apabila anda berasa seperti menyerah pada impian dan apa yang mendorong anda untuk meneruskan?
Pandemik adalah masa yang sukar untuk saya secara peribadi. Berurusan dengan kematian dalam keluarga, pemergian dua kucing pertama saya dan ketidakpastian kerjaya saya diakui terlalu berat untuk saya tangani. Namun secara tiba-tiba, rahmat di alam semesta seolah-olah berpihak pada saya apabila lagu yang saya keluarkan pada 2018 berjudul ‘It’s You’ mula menjadi viral di seluruh dunia. Orang ramai mula memberi perhatian kepada saya pada saat yang tepat saya berasa ingin putus asa. Mungkin ia adalah tanda untuk tidak berputus asa atau mungkin ia hanya kebetulan tetapi saya rasa syukur itulah yang memberi saya kekuatan untuk terus membuat muzik.
Pernahkah anda hadapi sebarang cabaran atau peluang khusus sebagai artis Asia Tenggara dalam persada muzik global?
Cabaran khusus saya ialah menjadi seorang kelahiran Singapura berketurunan Jawa dan Cina namun di negara sendiri saya dikategorikan sebagai ‘Melayu’. Ia sangat sukar untuk dijelaskan kepada seseorang yang tidak tinggal di Asia Tenggara. Ramai di antara kita adalah anak-anak pendatang, nenek moyang kita telah belayar di sekitar rantau ini selama berabad-abad dan anda boleh melihatnya dalam muzik, makanan dan juga bahasa kita. Saya dibesarkan dalam bahasa ‘kreol’ bahasa Melayu, bahasa Indonesia dan taburan bahasa Jawa, jadi apabila penonton Indonesia mula mengenali muzik saya, mereka turut senang memahaminya. Saya sudah biasa dengan budaya dan bahasa yang pelbagai, ini menjadikan saya lebih mudah untuk memahami dan berhubung dengan penonton melalui muzik.
Bolehkah anda berkongsi sebarang nasihat atau galakan kepada bakal artis yang mungkin akan menghadapi cabaran yang sama?
Anda perlu percaya pada diri sendiri dan percaya pada nasib. Kadang apabila perkara tidak berlaku seperti anda inginkan dalam kehidupan tidak bermakna anda akan gagal pada masa hadapan. Terdapat sedikit narsisisme yang sihat yang anda perlu lakukan untuk terus berjuang dalam bidang muzik. Jangan biarkan ia memberi kesan negatif kepada orang di sekeliling anda. Muzik adalah keseimbangan pada semua perkara dalam kehidupan dan apabila anda mendapati keseimbangan itu, anda akan mendapati muzik anda.