Rasmi: Good Vibes Festival 2023 telah dibatalkan berikutan insiden kontroversi yang melibatkan band UK The 1975 malam tadi.
Konsert sambutan 10 tahun bersama Good Vibes Festival yang berlangsung selama tiga hari di Litar Antarabangsa Sepang (SIC) semalam menyaksikan penyanyi utama The 1975 Matty Healy mengkritik undang-undang lesbian, gay, biseksual dan transeksual (LGBT) Malaysia sebelum mencium rakan kumpulan lelakinya. Hal ini telah mendapat pelbagai reaksi termasuk kerajaan, Menteri Komunikasi dan Digital Fahmi Fadzil telah mengarahkan pembatalan serta-merta baki dua hari Festival Good Vibes (GVF) 2023 yang diadakan di Litar Antarabangsa Sepang.
Menteri mengulangi pendirian tegas kerajaan untuk tidak berkompromi dengan mana-mana pihak yang mencabar, merendahkan, atau melanggar undang-undang Malaysia. Beliau menekankan kepentingan menghormati adab dan nilai budaya tempatan, dengan menyatakan bahawa industri kreatif dan kebebasan bersuara disokong oleh kerajaan, tetapi tidak harus menyentuh sensitiviti dalam masyarakat.
Pembatalan acara festival, yang sepatutnya berlangsung semalam hingga esok, 23 Julai, mungkin mempunyai implikasi kepada pembeli tiket. Justeru, Fahmi Fadzil menggesa pihak penganjur mewujudkan mekanisme pampasan kepada mereka yang telah membeli tiket.
Kenyataan rasmi dari Good Vibes Festival 2023.
Good Vibes Festival mengesahkan, “Future Sound Asia (FSA) amat kesal untuk mengumumkan bahawa baki jadual Good Vibes Festival 2023 (GVF2023), yang dirancang untuk hari ini dan esok telah dibatalkan berikutan tingkah laku dan kenyataan kontroversi yang dibuat oleh artis British Matty Healy daripada kumpulan itu, The 1975.”
“Keputusan ini mematuhi arahan pembatalan serta-merta yang dikeluarkan pada 1:20 PM, 22 Julai 2023, oleh Kementerian Komunikasi dan Digital, yang dengan tegas menentang mana-mana pihak yang mencabar, mempersendakan atau melanggar undang-undang Malaysia.” – Good Vibes Festival
Tambah penganjur, sebelum festival dimulakan, pasukan pengurusan kepada kumpulan 1975 telah meyakinkan GVF bahawa Healy dan kumpulan akan mematuhi garis panduan persembahan tempatan. Malangnya, Healy tidak menghormati jaminan ini dan melanggar perjanjian polisi yang telah ditetapkan.
Healy yang memilih untuk menggunakan persembahannya sebagai platform untuk meluahkan pandangan peribadinya telah mengejutkan pihak penganjur yang serta merta menamatkan persembahan kumpulan UK itu. Mencemarkan imej sambutan 10 tahun GVF, ini merupakan insiden kali pertama berlaku dan telah menyebabkan implikasi kepada penghibur, penaja, tiket dan masa hadapan GVF sendiri.
Tambah, “Kami memohon maaf kepada semua pemegang tiket, vendor, penaja dan rakan kongsi kami. Kami menyedari masa, tenaga dan usaha yang anda telah lakukan untuk menjayakan festival ini, dan kami menghargai sokongan padu anda. Kami akan memaklumkan anda tentang mekanik bayaran balik secepat mungkin.”
Mengakhiri kenyataan, “Kami menghargai pemahaman anda dan sokongan berterusan sepanjang isu mencabar ini. Kami tidak sabar untuk menjangkakan hari yang baik apabila kita semua boleh berkumpul semula secara peribadi untuk meraikan seni muzik, kepositifan dan suasana yang baik.”
Kelmarin, penyanyi 1975, Matty Healy memberi beberapa patah mesej buat kerajaan Malaysia berkaitan undang-undang anti-LGBTQ dengan melampau semasa membuat persembahan di ibu kota negara, Kuala Lumpur, pada 21 Julai kelmarin. Matty mengulas, “Saya membuat kesilapan. Semasa kami menempah slot konsert ini, saya tidak melihatnya (Undang-undang Anti-LGBTQ). Tetapi saya tidak menyesal… menjemputan The 1975 ke sebuah negara Malaysia dan kemudian mereka memberitahu kami dengan siapa kami boleh melakukan hubungan, larangan dan sebagainya” kata Healy sebelum memotong konsert itu.
Baca: The 1975 Di ‘Banned’, Ini Jawapan Good Vibes Festival 2023