Menepati ramalan, lagu judul ‘Terus Hidup’ nyanyian Aina Abdul diumumkan sebagai juara Anugerah Juara Lagu (AJL) ke-37.
Debaran yang dinanti, akhirnya menjawab segala spekulasi dan ramalan orang ramai, Aina Abdul, juara Anugerah Juara Lagu (AJL) ke-37! Penantian empat tahun, akhirnya Aina berjaya merangkul trofi Juara Lagu berakhir apabila lagu ciptaannya Terus Hidup mengungguli Anugerah Juara Lagu (AJL) Ke-37 yang disiarkan secara langsung TV3 dari Axiata Arena, Bukit Jalil, di sini, malam tadi.
Kemenangan lagu ciptaan sepenuhnya oleh Aina itu sekali gus melayakkan gandingan tersebut membawa pulang hadiah kemenangan berupa wang tunai RM100,000 dan trofi.
Selain itu, vokal luar biasa dan persembahan memukau berkonsep atas awan ketika mendendangkan lagu Terus Hidup turut membawa tuah buat Aina apabila diumumkan pemenang trofi Vokal Terbaik dengan hadiah trofi dan wang tunai RM12,000.
Naib juara AJL 37 menjadi milik lagu Suatu Malam Di Temasek nyanyian SonaOne dan Joe Flizzow menerusi karya ciptaan SonaOne dengan lirik dihasilkan SonaOne dan Joe Flizzow dengan membawa pulang trofi dan wang tunai RM50,000. Manakala lagu Anugerah Terindah nyanyian Alif Satar & The Locos hasil ciptaan Aliff Satar, Romeo Tam Cobain dan Efry Arwis serta lirik oleh Alif Satar, Shah Shamsiri dan Romeo pula menduduki tempat ketiga. Gandingan ini memenangi wang tunai RM30,000 dan trofi.
Sementara Shiha Zikir memenangi kategori Persembahan Terbaik menerusi lagu Irama, sekali gus membawa pulang hadiah wang tunai RM12,000 beserta trofi.
Pada acara itu, penyanyi Khai Bahar yang mendendangkan lagu Sengsara ciptaan dan lirik Johm Reeves, Firdaus Rahmat dan Omar K dipilih sebagai Penyanyi Pilihan Alha Alfa oleh penaja utama, Alha Alfa Cosmetics, sekali gus membawa pulang hadiah wang tunai RM12,000.
Artikel berkaitan: Solekan ‘Smokey’ 30 Minit Bosco Buat Aina Abdul