Benar kata pepatah, ‘kerana pulut santan binasa, kerana mulut badan binasa’. Berpunca daripada mulut yang melakukan aksi sumbang dan mengeluarkan kata-kata nista, The 1975 kini berdepan padah.
Tiga minggu selepas tercetusnya kontroversi jelik di Good Vibes Festival 2023, penganjur Future Sound Asia (FSA) membuat keputusan mengambil tindakan tegas terhadap kumpulan The 1975.
“FSA menyelar keras kelakuan kumpulan itu sewaktu membuat persembahan di GVF2023 khususnya penyanyi, Matthew Timothy Healy yang menggunakan bahasa kesat, merosakkan peralatan dan berkelakuan tidak beradab.
“Ia bukan sahaja terang-terangan melanggar garis panduan tempatan dan undang-undang Malaysia, malah mencalar reputasi festival berusia 10 tahun itu,” menurut kenyataan.
FSA telah pun menghantar satu surat yang menuntut kumpulan Inggeris itu untuk bertanggungjawab dan membayar ganti rugi RM12.3 juta berikutan pembatalan Good Vibes Festival bulan lalu. Peguam Perundangan FSA, David Mathew dari Steven Thiru & Sudhar Partnership mengesahkan perkara itu.
“Dalam surat tersebut, FSA menuntut agar The 1975 mengaku tanggungjawab mereka dan membayar jumlah sebanyak £2,099,154.54 (RM12,347,967.91) dalam masa tujuh hari,” katanya.