The Kid Laroi menukar lobi hotel menjadi pentas konsert selepas Good Vibes Festival 2023 yang hanya sempat berlangsung sehari dibatalkan.
Festival muzik yang sepatutnya diadakan selama tiga hari itu dihentikan serta-merta selepas kumpulan pop rock Inggeris, The 1975 menghina kerajaan Malaysia ketika membuat persembahan. Penyanyi utama, Matty Healy turut bersikap biadab dengan mencumbu pemain bass, Ross MacDonald sebagai tanda protes terhadap undang-undang negara berkaitan lesbian, gay, biseksual dan transgender (LGBT). Bukan itu sahaja, dia juga meludah, merokok, mengambil minuman keras di atas pentas dan sempat merosakkan kamera dron yang digunakan untuk merakam persembahan.
Disebabkan pembatalan itu, The Kid Laroi yang sepatutnya menghangatkan pentas Good Vibes Festival pada hari kedua memberi kejutan dengan menganjurkan ‘konsert’ di lobi hotel penginapannya. Difahamkan dia hanya mengetahui mengenai perkara itu setibanya di negara ini. “Baru saja mendarat dan mendapat tahu festival dibatalkan. Saya sayangkan anda, Malaysia. Maafkan saya,” tulisnya di Instagram Story.