Daiyan Trisha, berbual tentang perasaan, keluarga dan masa depan. Semuanya terluah dalam the most intimate call with her!
Selasa di pertengahan Julai saya singgah ke rumah Daiyan membawa hajat, menyunting dirinya sebagai editor jemputan EH! edisi September. Dan seperti selalu, Daiyan tidak pernah menghampakan EH!, dan foto yang anda tatap di halaman ini adalah idea dari Daiyan sendiri. Saya hanyalah indidvidu yang menyelaras agar semuanya mampu terealisasi.
Sebelum ini (di era cetak), ada beberapa kali EH! diserikan dengan kehadiran editor jemputan antaranya Datuk Sri Siti Nurhaliza dan Datuk Rizalman Ibrahim. Dan di era total digital ini mengapa tidak EH! diberi sentuhan editor undangan. Tambahan pula Daiyan Trisha memang berkebolehan menulis, bukunya ‘Tulisan’ juga sudah habis ditempah pembeli. Jadi saya fikir dia adalah orang yang tepat untuk menjadi editor jemputan yang pertama di era digital EH!.
Dua hari sebelum penggambaran muka depan ini, Daiyan terlebih dahulu melunaskan satu penggambaran untuk EH!, yang mana untuk penggambaran tersebut Daiyan bertindak sebagai pengarah kreatif, memikirkan konsep dan ‘cerita’ yang mahu disampaikan.
Dan saya berterima kasih kepadanya atas komitmen yang diberikan lebih dari yang diperlukan. Daiyan tak menganggap undangan ini sekadar tugas suka-suka, melakukannya sambil lewa jauh sekali. Dia membuat penggambaran tersebut menarik dan paling penting objektif penyampaian cerita terealisasi.
Beberapa minggu usai penggambaran, saya sekali lagi ke rumah Daiyan dan kali ini mahu duduk berbual-bual dengannya. Mendengar cerita yang mungkin sebelum ini sekadar kita dengar-dengar sahaja, tanpa tahu sahih atau sebaliknya.
Your current state of mind?
Content. Rasa tenang Alhamdulillah. Dalam masa yang sama rasa happy kerana banyak benda akan berlaku, buku ‘Tulisan’ sudah pun mula dijual. Walaupun belum sampai di tangan tapi orang tahu kewujudan buku ini.
Belum release orang sudah bercakap. Benda ini bagus atau tak?
Ada bagus ada yang tak. Yang bagusnya orang sedar saya keluarkan buku. Kontroversi surrounding tentang puisi yang saya tulis adalah sesuatu di luar kawalan. Itu semua berdasarkan perspektif orang. Apa yang saya tulis adalah dari perspektif, realiti dan perasaan saya.
Buku itu platform untuk saya berkata benar tentang perasaan dan pengalaman saya. Entahlah, rasanya tak ada yang tak bagus. Bila orang bercakap ia beri visibility kepada kerja saya. Jika sebelum ini orang tertanya-tanya dan melalui buku ini mungkin ada persoalan akan terjawab.
Orang tahu buku ni bukanlah tulis hari ni esok dah keluar. Ia ambil masa dan orang tahu apa yang saya tulis ni sudah dikumpul lama. Bagaimana saya nak menipu akan sesuatu yang sudah berlalu?
Siapa yang dah baca buku ni?
My publisher (ketawa). Tak ramai yang dah baca, setahu saya, hanyalah saya dan my publisher. Even sekarang pun saya tak ada satu copy pun.
Even your mom belum baca? (Saya tanyakan begini kerana ibu Daiyan adalah seorang penulis novel)
Mommy ada baca sikit-sikit. Saya ada tunjuklah beberapa puisi yang saya tulis. Dari riak wajahnya seakan impressed. Dia memang galakkan saya menulis. Tapi sebelum ini pun orang dah baca di Instagram (akaun @tulisanbydaiyantrisha) dan sebahagiannya dihimpunkan di dalam buku ini bersama penambahan puisi baru.
Ibu Daiyan juga seorang penulis, adakah menulis itu sesuatu yang diajar di dalam keluarga?
Sebenarnya tak. Penulisan Mommy sangat berat kesusasteraannya. Dia seorang guru, novelis dan ada PHD dalam sastera. Buku yang ditulis berkenaan love and philosophical thoughts, tebal-tebal dan deep. Saya sendiri pun tak baca semua (ketawa).
Kami adik beradik memang membesar dengan melihat dia menulis; menulis buku, tanda kertas peperiksaan, buat tesis dan macam-macam lagi. Saya sendiri tak terfikir yang saya akan menulis puisi, mungkin sudah ada dalam darah Mommy jadi minat menulis ni teralir ke dalam darah saya.
Sejujurnya Mommy tak pernah suruh pun saya atau adik-beradik yang lain menulis cuma my family memang hantar kami semua ke kelas seni dan muzik. Adik-beradik saya semua tahu bermain piano dan all of us can draw and paint.
Bila Daiyan mula menulis puisi-puisi ni?
Seingat saya pada tahun 2018. Sekadar suka-suka dan saya lebih banyak menulis bila pandemik. Kita duduk terkurung di rumah jadi saya jadikan menulis itu satu habit, satu cara untuk luahkan apa yang saya fikir, yang saya lihat dan rasa. Bila terperap di rumah saja maka banyaklah yang ditulis.
Selain Daiyan siapa lagi yang minat menulis dalam keluarga?
My sister ada menulis sikit dulu. Jika ada yang ingat filem Busker, saya memang gunakan puisi tulisan my sister di dalam filem itu. Sekarang tidak lagi.
Saya perhatikan Daiyan adalah seorang yang akan expand apa yang Daiyan minat. Saya bagi contoh, Daiyan minat menulis, you kembangkan sampai jadi buku. Daiyan minat fesyen, Daiyan kenalkan Selendang Daiyan. Apa lagi yang Daiyan suka dan akan dikembangkan?
Saya suka hiasan dalaman dan mungkin akan design studio. Banyak bidang yang saya suka tapi untuk expand yang lain-lain belum lagi. Misalnya saya minat fesyen tapi saya tak rasa saya nak ada clothing line sendiri buat masa ini.
Jadi Selendang Daiyan tak akan diteruskan?
Mungkin akan ada lagi kerana saya memang fokus koleksi itu pada bulan puasa dan raya. Kita tengok nanti. Saya sentiasa ada peluang untuk expand my artistry dan saya bersyukur dengan ruang yang datang dan diberikan.
Orang nampak saya buat banyak benda tapi mungkin orang tak sedar yang saya hanya fokus satu benda saja dalam satu masa. Jika berlakon saya berlakon saja, event pun saya tak pergi. Sekarang ni fokus pada promosi buku, buku saja. Dah selesai buku nanti saya akan fokus pada muzik semata.
Bagi saya setiap cabang seni yang saya buat perlukan komitmen dari diri saya sendiri sepenuhnya. Saya tak boleh buat banyak benda satu masa dan saya tak suka pun. Saya sendiri rasa tak puas.
‘Penat’ bagi saya sebuah lagu yang bagus dan memang banyak potensi. Lagu itu sendiri tercalon dalam kategori Lagu Pop Terbaik di Anugerah Industri Muzik tahun lalu. Tapi mungkin ada yang berasa sayang kerana Daiyan seakan tidak memberatkan komitmen pada bidang nyanyian.
Insya-Allah hujung tahun ini ada sesuatu yang menarik untuk peminat. Mungkin orang nampak saya ni tak banyak menyanyi di TV atau mana-mana show tapi saya tak pernah berhenti bekerja untuk muzik saya.
Saya menulis everyday dan ada saja lagu-lagu baru dalam arkib simpanan saya. Jika diizinkan Tuhan, selepas selesai buku dan travelling, saya akan mula fokus pada muzik hujung tahun ini.
Apa yang istimewa itu? EP? Showcase? Lagu Inggeris atau Melayu?
Kedua-duanya. Saya dah mula fikir tentang projek ni sejak lepas raya dan saya harap peminat akan suka. Sebab memang ada peminat yang selalu bertanya tentang lagu baru, sampai ada yang kata saya dah lupa yang saya penyanyi.
Are you ready for something bigger?
Mungkin untuk diri saya peluang untuk kerjaya nyanyian saya tidak sebesar andai dibandingkan dengan lakonan mahupun cabang lain. Saya terima banyak peluang dan saya berminat untuk letak hati saya pada projek itu. Namun begitu saya tahu sesibuk mana pun saya dengan kerja lain, saya tetap akan kembali pada muzik.
Saya punya peminat yang menyokong kerja muzik saya, walaupun mungkin tidak seramai penyanyi lain tapi ia mencukupi untuk saya. Dan mereka ini memang faham dan boleh terima my artistry.
Jika saya mahu buat sesuatu yang lebih bersifat mass, tapi itu mungkin bukan diri saya. Saya tak mahu meletakkan diri saya di tempat yang orang tak faham diri saya.
“Untuk apa saya nak paksa diri saya untuk memenuhi ruang yang orang-orangnya tak faham pun diri saya.”
Lebih baik saya pergi ke tempat orang yang faham muzik saya dan mereka boleh bergembira dengan karya saya. Saya tak perlu ubah muzik saya, cara saya menyanyi, I just wanna go where I am celebrated. Dan itulah arah tuju muzik saya, saya rasa more fullfilling dan lebih sihat untuk kerjaya saya. Dan saya rasa saya sudah commercial enough untuk ada crowd di Instagram.
Apa salah faham lazim orang tentang Daiyan?
Orang ingat saya kaya. Orang fikir saya membesar dan datang dari keluarga kaya. Hakikatnya saya membesar dalam keluarga yang sangat sederhana. Alhamdulillah kerjaya saya blooming dan rezeki murah dan saya pula tahu macam mana nak simpan dan grow pendapatan saya.
“Saya datang dari latar belakang yang sangat humble. Saya dan adik-beradik lain dibesarkan dengan tiga hal penting; pendidikan, seni dan kasih sayang. Kami tak kejar benda lain.”
Saya rasa rezeki akan datang bila kita ikhlas. Saya seronok dengan apa yang saya usahakan dan itu sudah cukup buat saya gembira.
Cakap tentang media sosial, adakah Daiyan rasa tindakan sesetengah selebriti yang mengejar viral menjatuhkan status the real artist? Membuatkan orang pukul rata sikap semua selebriti.
Sebenarnya terpulang cara kita gunakan media sosial. Dan tak dinafikan ada juga the real artist tak guna sangat media sosial. Tapi itu pilihan masing-masing. Perkara pokoknya macam mana kita guna. Gen-Z artist ramai yang market kan produk mereka dengan baik di media sosial. Media sosial itu bahaya kalau kita tak pandai guna.
Audiens juga perlu tahu apa yang dorang consume. Jika benda yang tak baik yang mereka cari, maka benda itu jugalah yang akan banyak muncul di timeline mereka.
Apakah yang mendorong Daiyan untuk push more and more?
The needs to create. Saya sentiasa ada rasa untuk create something. Macam lagu, itu satu cara saya untuk release perasaan. Walaupun ada orang komplen cakap ‘dialah yang paling tersakiti’ misalnya, tapi itulah artis. Taylor Swift, Adele, mereka semua menulis berasaskan pengalaman sendiri.
Saya salurkan perasaan saya menerusi karya, pada lagu, watak lakonan dan tulisan. Perasaan saya itu diluahkan pada buku, skrin dan media sosial. Bagi saya itulah yang cantiknya eco system kita sebagai artis, kita rasa connected dengan audien.
Daiyan memang nak buat projek yang eksklusif saja ke? Drama pun Astro Originals dan Viu misalnya?
Saya bukan cari yang eksklusif semata tapi saya menekankan kualiti. Saya tak suka produk yang saya keluarkan tak bagus. Kalau saya tak suka, saya sendiri akan kritik kerana muka saya tak boleh menipu. Jika bagus, it can be seen on my whole body. Macam saya cakap tadi, kita kena bagi penonton benda yang berkualiti, biar mereka consume benda yang bagus. Saya penulis, jadi kata-kata saya expensive, jika saya puji, terimalah kerana pujian itu memang ikhlas dari saya.
Daiyan tetapkan mana nak kongsi, mana nak simpan?
Hahaha…. mestilah. Kena ada boundaries. Saya rasa semua orang perlu pergi kelas boundaries supaya kita tak overshare. Saya seorang yang private tetapi tidak secretive. Yang tahu, tahu je. Saya memang jaga privacy, sebab bila kita dikenali kita memang tak banyak privacy, ruang yang ada itulah yang kita jaga.
“Saya kawal the intensity apa yang orang tahu tentang kehidupan peribadi saya. Yang orang nampak permukaannya sahaja.”
Saya jarang kongsi tentang keluarga saya di media sosial, tapi orang tahu saya rapat dengan mereka. Orang tak perlu tahu serapat mana saya dengan famili.
Kita menulis selalunya kita didorongi perasaan kita ketika itu. Pernah tak bila dah ditulis-tulis, tiba masa nak dikeluarkan timbul rasa tak mahu pula?
Jika saya rasa tak okey, ya saya akan tulis tapi saya tak keluarkan. Maknanya bila saya dah keluarkan lagu atau puisi, itu maksudnya perasaan saya dah okey. Saya jarang kongsi apa yang saya rasa serta merta kerana saya sendiri tak selesa bila orang tanya saya okey ke tak. Jadi untuk selamatkan diri dari ditanya ketika saya tak okey, saya lebih suka simpan saja. Sebab kita tahu bila kita tunjukkan diri kita tak okey, waktu itulah orang akan tanya.
Jadi Daiyan tak share apa yang Daiyan tulis bila Daiyan tak okey?
Sebenarnya ada tapi tak semua. Dan sebab itulah saya tulis untuk dimasukkan dalam buku jadi bila buku dikeluarkan saya sebenarnya dah okey.
Patut atau tak untuk orang labelkan tulisan seseorang itu cringe?
Bergantung pada perspektif kita sendiri. Apa yang penting bila kita menulis biarlah ikhlas. Apa yang datang dari hati pada saya tak cringe. Cringe ini terjadi bila you nak jual sangat karya tu. Saya tak pernah pretend untuk jadi seseorang yang bukan diri saya menerusi karya saya.
Saya seorang yang ringkas, jadi saya senang gunakan perkataan yang simple. Paling penting ialah orang faham. Jangan gunakan perkataan yang ekstravaganza jika tak kena dengan konteks.
Saya suka gunakan metafor, dan jika saya menulis sesuatu mungkin orang tu saja faham. Orang luar baca sebagai cerita, dan sesetengah orang yang tahu anggap apa yang saya tulis adalah satu pengalaman.
Okey saya sebenarnya tertarik nak tahu kenapa ayah ibu Daiyan hantar semua anak-anaknya ke kelas muzik?
Saya rasa kerana ayah saya memang suka muzik tapi dia tak ada bakat. Jadi dia nak anak-anak dia ada bakat atau tahu tentang muzik. Ayah saya suka tonton singing reality show, tengok konsert bahkan dia beli gitar untuk diri dia walaupun dia tak tahu main.
Jadi your dad memang suka Daiyan jadi penyanyi?
My parents hanya bagi sokongan 100 peratus bila saya dah dapat my degree. Macam saya cakap tadi, education, love and art sangat dititikberatkan dalam keluarga saya. My parents betul-betul support bila mereka lihat saya dah boleh berdiri dengan sendiri, bila saya dah beli rumah pertama saya in 2018. Sejak itu mereka let go, mereka bebaskan saya untuk buat apa yang saya suka.
Daiyan ada any regrets? Jika tiada penyesalan, mungkin ada sesuatu yang Daiyan fikir jika keputusan dan keadaannya lain, jalan hidup Daiyan juga mungkin berbeza?
Bukan regret tapi saya rasa jika tiada pandemik mesti saya dah kembangkan muzik saya di luar negara. Sebelum pandemik memang saya sendiri sudah mula buat some music dengan produser di LA. Walaupun saingannya sengit tapi mereka terbuka untuk menerima orang baru.
Okey last one, what is love?
Love is the purpose of living.
Saya menamatkan perbualan selepas hampir sejam berbual dengan Daiyan. Diselang seli dengan batuk, saya sendiri tak mahu berlama-lama di rumahnya kerana bimbang berjangkit. Tapi saya puas, selama berbual dengannya, kami tidak meletakkan persahabatan sebagai alasan untuk tidak bertanya hal-hal sensitif. Apa yang ditulis ini 100 peratus dari luahan Daiyan sendiri.
BACA: Terhasil Dalam 60 Minit, ‘Penat’ Sebuah Luahan Luka Daiyan Trisha