Teks : Muzammin Muzlan
Seramai 3500 peminat membanjiri konsert pertama The xx di Kuala Lumpur dalam jelajah mempromosi album terbaharu, I See You.
Buat peminat muzik pop indie lokal, tahun 2018 bermula dengan cukup bermakna selepas menyaksikan kumpulan The xx membuat konsert pertama mereka di Kuala Lumpur. Kumpulan yang berasal dari kota London, UK itu akhirnya singgah ke Kuala Lumpur dalam siri jelajah I See You untuk mempromosi album ketiga mereka.
Konsert yang dianjurkan oleh Upfront Arena ini menyaksikan seramai 3500 peminat mula membanjiri MITEC sejak 6 petang lagi. Pastel Lite memanaskan pentas dengan persembahan pembukaan sebelum The xx menggegarkan pentas dengan alunan pembukaan Intro yang dinantikan peminat.
Kumpulan yang pernah memenangi Mercury Prize pada 2010 tidak mengecewakan peminat dengan persembahan lagu-lagu hit baharu dan lama mereka seperti Crystalised, VCR, Fiction, I Dare You dan Say Something Loving. Sebagai penutup, The xx yang dianggotai oleh Romy, Oliver dan Jamie mengakhiri konsert mereka dengan lagu On Hold dan Angels.