Ini sememangnya mengejutkan! Jessie J dikenali sebagai seorang penyanyi yang lincah di atas pentas, jadi penyebaran berita ini nyata membuatkan peminat-peminatnya terkejut besar.
Sebelum ini dia pernah berkongsi kepada umum bahawa dia disahkan mandul oleh doktor, jadi adakah ia saling berkait dengan penyakit yang menimpanya sekarang ini?
Kongsi Jessie di Instagram, dia didiagnos menghidap penyakit Ménière, masalah dalaman telinga yang menyebabkan deringan kuat, hilang pendengaran dan vertigo. Ia terasa seperti “seseorang merangkak” ke dalam telinganya dan “menghidupkan alat pengering rambut.”
Kata penyanyi Price Tag itu, “Saya bangun pagi dengan telinga kanan terasa pekak dan tidak mampu berjalan lurus. Doktor mengesahkan saya menghidap sindrom Ménière. Saya tahu ramai orang menderita penyakit ini dan ramai juga yang menghubungi saya untuk memberi nasihat.”
Dalam Instagram Live, dia menambah bahawa perkara ini boleh menjadi lebih teruk lagi dan dia sangat bersyukur dengan kesihatannya sekarang. “Saya sangat gembira kerana ia dikesan lebih awal dan saya diberikan ubat, jadi saya rasa lebih baik hari ini.”
Kongsi Jessie, dia terpaksa menonton drama hit Netflix, The Queen’s Gambit dengan jari di dalam telinga kerana sukar untuk fokus disebabkan masalah yang dihadapinya itu.
Berita baiknya, dia kini dalam proses pemulihan dan mengakui sudah mampu menyanyi serta mendengar muzik.
Foto: Andrew Benge / Redferns
Baca: Penerbangan Dibatalkan, Rita Ora Terkandas Di Bulgaria