Bintang Korea, Song Kang mentransformasikan dirinya sebagai seorang penari balet dalam siri drama terbaharu “Navillera” yang pasti akan menghangatkan Netflix bermula 22 Mac ini.
Selepas mencipta nama melalui “Love Alarm” dan “Sweet Home”, Song Kang bakal mentransformasikan dirinya sebagai seorang penari balet dalam siri baharu berjudul “Navillera”. Bintang Korea itu akan meneraju watak utama sebagai seorang ballerino berusia 23 tahun yang menjalinkan persahabatan bersama seorang lelaki berusia 70 tahun yang baharu mahu mencuba balet. Drama terbaharu Netlfix ini menyaksikan kolaborasi antara pengarah, Han Dong-hwa yang popular melalui “Squad 38” dan “Miss Lee” bersama penulis skrip, Lee Eun-mi yang mencipta nama melalui “Tunnel” sebelum ini.
“Navillera” yang membawa maksud Like a Butterfly, akan menampilkan Park In-hwan, Song Kang, Na Moon-hee dan Hong Seung-hee. Park-In-hwan memainkan watak Deok-chul yang mahu mencapai impiannya untuk menjadi penari balet pada usianya yang sudah tua. Song Kang pula memegang watak lelaki muda bernama Chae-rok yang mempunyai bakat unik dalam balet tetapi menyedari bakatnya hadir lewat jika dibandingkan dengan rakan-rakan lain. Bagaimanapun, kehidupan mereka mula berubah selepas dia menjadi mentor kepada datuk berusia 70 tahun itu.
“Saya hanya mempunyai satu kehidupan. Oleh sebab itu momen ini sangat berharga kepada saya,” adalah dialog yang diucapkan antara Park In-hwan kepada Song Kang dalam salah satu babak trailer siri baharu ini. Bagaimana perjalanan kedua-dua watak ini dalam mengejar impian dan cita-cita mereka? Anda boleh menonton trailer penuh di sini.
Peminat K-drama boleh menonton Navillera yang akan dilancarkan pada 22 Mac 2021, dengan setiap episod baharu pada setiap Isnin dan Selasa pada jam 11 malam, dua jam selepas dilancarkan di Korea Selatan, hanya di Netflix!
Foto: Netflix & Instagram @songkang_b
Baca lebih lanjut: Lukisan “Splash Planet” Oleh Ed Sheeran Bernilai RM292,050