Hampir semua jenama mewah dan utama di China telah menggugurkan nama Kris Wu selepas bintang China-Kanada itu dituduh melakukan hubungan dengan beberapa gadis bawah umur.
Jenama seperti Louis Vuitton, Bvlgari dan Porsche telah menamatkan kontrak serta menggugurkan nama Kris Wu selepas seorang gadis menuduh bintang popular itu melakukan hubungan seks ketika dia sedang mabuk. Walau bagaimanapun, bekas ahli kumpulan K-pop, EXO itu menafikan semua tuduhan, dan telah menfailkan saman fitnah terhadap gadis tersebut.
Bintang China-Kanada itu dituduh mengumpan gadis muda, termasuklah yang masih bawah umur untuk melakukan hubungan seks bersamanya. Tuduhan tersebut telah dilakukan secara atas talian oleh pelajar sekolah berusia 19 tahun, Du Meizhu. Dia menuduh Kris Wu menggunakan pengaruhnya untuk menjanjikan peluang keemasan buat beberapa gadis muda untuk memasuki industri muzik dan lakonan.
Melalui temu bual bersama laman NetEase, Du Meizhu telah mendedahkan dia mengetahui sekurang-kurangnya lapan lagi mangsa lain, termasuk dirinya. Dua mangsa tersebut merupakan gadis bawah umur. Menurut undang-undang di China, umur atau usia kerelaan (age of consent) adalah 14 tahun. Temu bual itu telah disaksikan lebih 1.7 billion kali di laman Weibo.