Pelakon, Ummi Nazeera mengesahkan dia selamat bernikah dengan Dr. Mohd Izzar Anwari 23 Julai lalu dalam satu majlis tertutup.
“Saya mengaku sudah bergelar isteri Izzar sejak 23 Julai lalu kerana menuruti keputusan keluarga agar pernikahan ini diadakan lebih awal daripada tarikh dirancang,” katanya.
Malah menerusi Instagramnya hari ini, Ummi turut memohon maaf kepada media juga peminatnya kerana menyembunyikan berita tersebut. Ummi turut berkongsi gambar majlis pernikahannya yang berlangsung bulan lalu.
Ummi Nazeera, 27, selamat bernikah dengan lelaki pilihan keluarganya, Dr. Mohd. Izzar Anwari Dato’ Sri Abdul Khani, 30, dalam sebuah majlis tertutup lebih awal daripada tarikh asal pernikahan itu yang sepatutnya berlangsung semalam (3 Ogos 2017).
Bintang filem Penanggal ini diijabkabulkan bersama Izzar yang merupakan seorang doktor berasal dari Kuala Lumpur dengan sekali lafaz pada jam 10.45 pagi di kediaman adik kepada bapa Ummi, Yang Berbahagia Dato’ Aziz Mat Akhir di Bukit Tunku, Kuala Lumpur dan hanya dihadiri 20 orang tetamu. Ummi menerima tujuh dulang hantaran berbalas Sembilan, walaubagaimanapun jumlah mas kahwin dirahsiakan. Ummi menggayakan busana Rizman Ruzaini di hari pernikahannya.
Menurut Ummi atau nama sebenarnya Ummi Nazeera Nur Hidayah Dato’ Zainulabadin, dia mengambil keputusan untuk mempercepatkan majlis itu bagi menghormati permintaan keluarga.
Menyarung persalinan rekaan Innai Red dan disolek oleh Saidatulnisa, Ummi ditemui ketika majlis meraikan pasangan itu dengan dihadiri seramai 200 keluarga terdekat termasuk tetamu kenamaan, Yang Amat Mulia Tengku Seri Panglima Raja Tengku Baderulzaman Ibni Almarhum Sultan Mahmud Al-Mukhtafi Billah Shah serta isteri, Toh Puan Seri Wan Hidayah Wan Ismail di Hotel Le Meridien, Putrajaya.
Bercakap mengenai perubahan dirinya selepas bergelar isteri, Ummi memberitahu, dia kini berasa lebih gembira dan tenang selepas memasuki 11 hari mendirikan rumah tangga.
“Saya kena lebih berhati-hati dalam setiap perkara kerana sekarang hidup berdua bersama suami. Kalau hendak merajuk atau marah, kena berfikir banyak kali disebabkan takut rasa berdosa dengan suami.
“Cuma agak sedih apabila kami terpaksa berpisah selepas setengah hari bernikah kerana Izzar masih lagi bertugas di Sarawak. Yang pasti, saya perasan bahawa suami menjadi lebih romantik selepas berkahwin,” jelas Ummi yang bakal meneruskan karier seni seperti biasa selepas ini.
Kedua mempelai itu merancang untuk berbulan madu di Sabah dan Switzerland tidak lama lagi. Resepsi persandingan pasangan itu akan diadakan di Hotel Shangri-La pada Sabtu ini dan diikuti di Dewan Bankuet Menara Felda, Persiaran KLCC di sini 12 Ogos ini.