Kalau sudah jodoh tak ke mana! Hampir setahun menjalin hubungan cinta, pasangan serasi ini sudah pun sepakat untuk mendirikan rumah tangga pada 6 Februari depan.
Pendedahan itu dibuat melalui sidang media yang disiarkan di YouTube, di mana mereka tampil sedondon dalam busana merah jambu. Harris Alif dan Intan Ladyana turut memaklumkan perkahwinan mereka bakal ditaja oleh Ceres Jewel yang berupa barangan kemas, majlis pernikahan dan resepsi, kesemuanya bernilai RM13.5 juta. Manakala persiapan perkahwinan pula sudah 90 peratus siap.
Harris dan Intan mula menjalin hubungan serius pada Februari tahun lalu. Walaupun menerima pelbagai reaksi daripada netizen, mereka tetap positif dengan pilihan hati masing-masing.
Intan pernah ditanya beberapa bulan lalu, mengapa dia tertarik dengan Harris yang jauh lebih muda daripadanya, atau lebih tepat lagi 17 tahun lebih muda.
“Dia lebih matang daripada usianya dan senang nak berkomunikasi. Dia faham apa yang kita nak sampaikan. Selalunya perbezaan umur ni susah nak berkomunikasi…tapi dengan dia tidak.
“Dia tak macam lelaki yang sebaya dengannya. Saya pun baru mengenali dia, jadi tak tahu sangat lebih mendalam mengenai dia. Kita pun belajar benda baru daripada orang lain,” ujar Intan.
Bagi Harris pula, perbezaan umur hanyalah angka dan dia tidak melihatnya sebagai satu masalah kerana masing-masing tahu apa matlamat dalam perhubungan.
“Bukan kami sahaja yang melalui hubungan berbeza usia ini, ada orang lain pun sama dan mereka dah buktikan perbezaan usia bukan penghalang. Dalam hal ini, saya bersyukur kerana keluarga merestui,” katanya.
Tahniah kami ucapkan!
Foto: Instagram