Vanessa Hudgens menjadi selebriti terbaharu yang mengundang perhatian warga Twitter minggu ini disebabkan jadual perjalanannya ketika pandemik.
Bintang High Musical ini trending di Twitter semalam kerana berkongsi foto dirinya berada di Scotland. Ketika semua orang terpaksa berkurung disebabkan pandemik, Vanessa dilihat bersuka ria di luar negara.
Namun kenyataannya, dia sedang menjalani penggambaran filem terbaharu di negara itu dan mahu berkongsi bersama pengikut di media sosial. Scotland kini berada di bawah sekatan perjalanan sepenuhnya dan penduduk hanya dibenarkan keluar untuk beriadah atau berjalan sekali sehari sahaja.
Apa yang mengundang kritikan netizen adalah pelakon Princess Switch itu tidak berasa bersalah memuat naik foto percutian sejak beberapa lalu di Instagram Feed mahupun Instagram Story. Dan netizen dari Scotland yang menyedari perkara itu tidak teragak-agak menyelar pelakon tersebut.
“Apa Vanessa Hudgens lakukan di Scotland ketika pandemik??? Silakan pulang,” seorang pengikut menulis ciapan di Twitter.
Seorang lagi menambah, “Saya faham dia sedang bekerja, tetapi kami semua diperintahkan berkurung oleh kerajaan dan dia pula mahu mengambil gambar untuk Instagram seolah-olah kita telah bebas daripada pandemik.”
Ada juga yang mengatakan Vanessa hilang akal! Namun beberapa peminat dilihat cuba mempertahankan tindakan selebriti kesayangan mereka dan menganggap kritikan terbuka ini sebagai double standard.
“Vanessa Hudgens dibenci kerana bekerja di Scotland? Jika anda benar-benar mahu mengecam tindakannya, kritik juga Robert Pattinson serta Tom Cruise, dan beritahu mereka untuk pulang. Mereka berdua menjalani penggambaran di United Kingdom sejak beberapa bulan lalu,” bidas seorang peminat.
Ini bukan kali pertama Vanessa menerima kecaman kerana pandemik. Mac tahun lalu, dia membuat permohonan maaf secara terbuka selepas memberi kenyataan menunjukkan dia tidak peduli mengenai penduduk yang mati akibat Covid-19.
Foto: Brian van der Brug / Los Angeles Times
Baca: 5 Pasangan Hollywood Yang Bertunang Ketika Pandemik Covid-19