Selamat sudah Tya Arifin, isteri kepada Asyraf Khalid melahirkan bayi sulung mereka pada 31 Mac lalu. Kelahiran bayi mereka ini turut disambut gembira oleh bapanya iaitu Datuk Khalid Mohd Jiwa atau lebih dikenali sebagai Datuk K serta Datuk Siti Nurhaliza.
Cucu pertama dalam keluarga Datuk K serta Datuk Siti ini dilahirkan di Hospital Ampang Puteri. Asyraf memilih untuk memberikan nama Arif Jiwa kepada putera pertama mereka ini. Nama tersebut sebenarnya berdasarkan dari nama kedua-dua bapa pasangan ini termasuklah bapa Tya iaitu Arifin dan Datuk Khalid Mohd Jiwa.
Menerusi laman Instagram milik Asyraf, dia telah memuat naik sebuah video ketika detik lahirnya bayi pertama mereka itu. Video tersebut nyata mendapat perhatian ramai kerana ia merakamkan detik kemuncak kelahiran bayi lelakinya itu.
Dilihat di dalam video tersebut, situasi di dalam kamar bersalin itu agak tegang kerana lumrahnya wanita akan mengalami kesakitan yang melampau ketika proses melahirkan anak.
Dalam masa yang sama, Datuk Siti yang turut ada di dalam video tersebut dilihat sungguh teruja dan bersyukur menyaksikan kelahiran cucunya itu.
Dalam rakaman itu lagi, doktor yang mengendalikan proses melahirkan itu turut menyeru kepada Asyraf untuk melaungkan azan sesaat keluarnya bayi tersebut. Pada ketika itu, Asyraf sentiasa berada di sisi isterinya yang setia menemaninya sepanjang proses melahirkan.
Tulis Asyraf di dalam kapsyen video tersebut;
“Ini adalah momen sebenar ketika anak lelaki saya dilahirkan. Hari ini adalah hari ketika saya bergelar seorang bapa. Syukur kepada Allah, isteri saya, Tya selamat melahirkan bayi lelaki pada 31 Mac 2017 di Hospital Ampang Puteri. Kami menamakan anak lelaki kami, Arif Jiwa, sebagai penghormatan kepada kedua-dua bapa kami iaitu ARIFin dan Khalid JIWA.”
“Bagi saya, mereka adalah unsung hero, tetapi kerana merekalah kami berada di sini pada hari ini, kerana bapa sayalah saya mendapat pelajaran yang terbaik, saya dapat hidup serba sempurna, saya dikelilingi dengan orang-orang yang terbaik di dalam hidup saya dan saya sangat berbangga kerana mempunyai bapa seperti dia, kerana dia sangat menyayangi dan menjaga anak-anaknya dan sanggup buat apa sahaja untuk melindungi kami semua serta memberikan yang terbaik buat kami.”
“Walaupun Mama adalah yang menjaga kami di rumah, Ayah adalah seorang yang berusaha keras diluar sana, bertungkus lumus, bekerja keras, tanpa berputus asa, hanya untuk keluarga. Jadi, saya maklumkan pada isteri saya, saya mahukan nama anak kami, Arig Khalid atau Arif Jiwa. Pengalaman ini amatlah bermakna bagi saya.”
“Disebabkan pengalaman ini, saya rasa sangat respek ibu saya. Mengikuti perjalanan hamil isteri saya selama sembilan bulan, sekarang ini saya sudah boleh memahami pengalaman yang bagaimana mereka rasakan. Kesakitan yang mereka hadapi berpanjangan tanpa henti. Saya sangat bersyukur kerana mempunyai ibu saya, yang sentiasa ada bersama kami, yang melalui setiap detik dan mengorbankan hidupnya untuk kami, memberikan kami tempat tinggal yang selesa serta memastikan yang kami semua sentiasa dilindungi sementara ayah bekerja.”
“Sekarang ini baru saya faham kenapa ibu perlu diletakkan sebagai orang pertama dalam hidup sebelum orang lain. Pengalaman ini adalah rahmat dari Allah dan saya bersyukur yang Allah mempermudahkan segalanya buat kami. Untuk Arif Jiwa, jangan membesar terlalu cepat dan jadilah seorang lelaki yang baik. Saya cintakan kamu anak. Untuk ibu Arif, awak adalah orang yang paling kuat saya pernah kenal dan saya sangat berbangga.”