Konsert Terunggul Afgan & Ungu telah berlangsung dengan jayanya pada Jumaat lalu bertempat di Stadium Melawati Shah Alam, Selangor. Vokalis kumpulan UNGU, Pasha sempat berkongsi rahsia suara kekal mantap dari dulu sehingga sekarang.
Dihadiri dengan 5,000 orang peminat serta kerabat Diraja Pahang bersama Tengku Puan Pahang, Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah, konsert yang dianjurkan oleh Popcorn Studio itu nyata meriah dan mendapat sambutan hangat.
Acara itu telah dihoskan oleh Fiza Frizzy yang menjadikan konsert tersebut cukup bertenaga dengan setiap ucapannya yang spontan dan bersahaja. Kumpulan UNGU yang dinanti-nantikan ramai kemudian membuka pentas dan mempersembahkan 10 buah lagu.
Mereka dilihat tidak kekok di pentas, bahkan vokalis utama kumpulan itu, Pasha turut spontan dan bersahaja kala berinteraksi dengan peminat. Mungkin dilihat seakan terlalu ketara dengan banyak percakapannya, tetapi itulah rahsia bagi kumpulan ini kekal bersama selama 20 tahun.
“Saya rasa konsert UNGU biasa sahaja, kerana bagi saya bersama teman-teman UNGU, konsert itu bukan sesuatu yang hanya sekadar bernyanyi tetapi kita harus ada hubungan antara kami yang di atas pentas dengan penonton. Jadi itu akan jadi lebih menarik di saat penonton merasakan terlibat dengan persembahan kita,” jelas Pasha ketika ditemui di sidang media.
Pabila ditanya, apakah tipnya masih kekal bertenaga kala beraksi dari dulu biarpun kini tubuhnya dilihat seakan sedikit berisi, Pasha menjawab, “Kami bersama sudah 20 tahun, sudah hampir semua pentas dan hampir seluruh Asia kami jelajah sehingga ke Australia kami berkonsert, jadi saya rasa membuat persembahan di atas pentas itu bukan satu hal yang baru buat kami. Tetapi yang paling penting itu adalah kerjasama penonton dengan kami. Kalau konsert sebagus apa pun, atau sehebatnya aksi kita, tetapi kalau penontonnya hanya membisu tiada sebarang reaksi atau respon, jadi saya rasa konsert itu tidak akan berjaya. Tetapi konsert malam ini ia nyata berjaya!”
Tidak dinafikan yang walaupun sudah 20 tahun beraksi, lunak suaranya masih sama seperti dulu.
Ditanya apa rahsianya, “Malam ini sebenarnya saya mengalami masalah batuk, tetapi kerana saya terhibur dengan konsert ini, dan saya rasa senang. Saya juga suka mencuba benda baru kerana bagi saya setiap konsert itu harus mempunyai perbezaan. Jadi, kalau jika tadi dikatakan suara saya masih kekal sama, alhamdulillah. Saya rasa tiada masalah dan saya enjoy.”
Pada malam itu, penonton turut melihat persembahan istimewa UNGU yang berduet dengan Idayu (Akademi Fantasia Megastar) dengan judul lagu Tercipta Untukku.