Saban kali selebriti atau model terkenal dipilih untuk menghiasi kempen wangian terkini. EH! himpunkan antara mereka yang menjadi pilihan tahun ini.
1. Antonia Wesseloh – Marc Jacobs ‘Daisy Dream’
Melalui filem pendek yang diarah oleh pengarah filem Sofia Coppola, Daisy Dream menampilkan wajah baru peragawati Antonia Wesseloh berjalan di padang luas dengan lautan bunga daisy dan awan biru yang merupakan inspirasi kepada minyak wangi itu. Motif bunga daisy menonjolkan ciri anggun serta feminin seorang wanita dengan interpretasi yang segar dan baru.
2. Blake Lively – Gucci Premiere Eau De Toilette
Merupakan wajah asal kempen minyak wangi Gucci Premiere, Blake sekali lagi dipilih untuk menghiasi kempen bagi Eau De Toilette. Kata Blake: “Wangian baru ini menjanjikan kekuatan serta kebahagiaan yang mampu dikecapi melalui badan sendiri. Ianya merupakan ciri wanita tabah yang selalu saya dambakan setiap hari”.
3. Cara Delevigne & Kate Moss – My Burberry
Gandingan dua supermodel buat minyak wangi Burberry ini hangat diperkatakan ramai! Cara Delevigne yang merupakan model of the moment merasa rendah diri dapat menyertai kempen bersama lagenda model Kate Moss. Katanya, “Kate mempunyai aura tersendiri serta stail yang hebat. Ini merupakan kali pertama saya melihat dia bekerja. Dia membawa energi yang tinggi sewaktu di set”. Kate pula ternyata teruja untuk bekerja dengan Cara, “Saya berasa sangat teruja sewaktu mendapat tahu yang saya akan bergandingan dengan Cara. Kami pernah berjumpa tetapi tidak pernah bekerjasama. Tapi saya tahu yang kami akan bergembira di set”.
4. Arizona Muse – Estee Lauder Modern Muse
Pertama kali dipilih sebagai wajah Estee Lauder, model cantik Arizona Muse melahirkan rasa bangganya, lebih-lebih lagi kerana dia berkongsi nama dengan minyak wangi itu. Jelasnya, “Saya sukakan Modern Muse kerana ia mempunyai dua bau. Ia membangkitkan rasa feminin dan pada yang sama strong. Sleek Woods Accords menonjolkan ciri kekuatan, manakala haruman citrus bunga yang digunakan pula membangkitkan rasa ringan. Ianya merupakan signature scent saya sekarang”.
5. Charlize Theron – Dior J’adore
Wajah yang tidak asing buat Dior J’adore, pelakon hebat Charlize Theron tampil dalam filem pendek terbaru minyak wangi itu. Mengenakan persalinan rona emas anggun, Charlize melangkah penuh konfiden dan gaya di Hall of Mirrors. Ingin meninggalkan kisah lama, dia memanjat kain sutera yang jatuh dari langit, merentasi masa ke dunia baru yang dicahayai kilauan emas. Filem itu menandakan era baru Dior J’adore yang penuh inspirasi berfikiran baru dimana setiap peluang terbuka luas buat wanita J’adore.
6. Gwyneth Paltrow – BOSS MA VIE Pour Femme
Pemilihan aktres Iron Man itu dilihat bertepatan dengan ciri wanita BOSS yang konfiden. Melalui BOSS MA VIE Pour Femme, Gwyneth berpeluang menonjolkan sisi yang lebih intimasi dengan konsep minyak wangi yang dekat di hati. Jelasnya, “Saya berasa amat berbesar hati untuk menjadi sebahagian daripada kempen ini. Saya sukakan konsep BOSS MA VIE Pour Femme kerana ia mewakili masa untuk berhenti sejenak demi merasai sesuatu momen itu. Saya turut mengalami situasi sama setiap hari di mana saya berfikir betapa indahnya kehidupan ini. Momen kecil dan suci seperti itulah yang benar-benar menusuk ke kalbu.”
7. Bianca Balti and David Gandy – Dolce & Gabbana Fragrances Light Blue: Escape to Panarea and Discover Vulcano
Bianca Balti yang pernah muncul dalam banyak kempen Dolce & Gabbana sebelum ini digandingkan dengan model hangat David Gandy. Gandingan mereka berdua membawa pembaharuan serta energi relax terhadap Light Blue. Mata mereka yang seakan warna air simbolik lautan Mediterranean di sekeliling Capri yang merupakan inspirasi kepada minyak wangi Light Blue siri ini.