Siapa yang tidak berbangga pabila wajahnya berjaya menghiasi skrin LED gergasi di kota New York? Ia ibarat satu perkara yang membanggakan bagi semua orang termasuklah Yuna.
Skrin LED gergasi yang terletak di Times Square New York yang mana satu lokasi tumpuan ramai di negara maju itu kali ini dihiasi dengan wajah penyanyi kelahiran Kedah tersebut.
Yuna berkongsi berita gembira tersebut menerusi akaun Twitter nya. Rata-rata peminatnya menghantar ucapan tahniah kepada penyanyi tersohor negara itu atas kejayaan yang dikecapi hari ini.
Your Kedah-born girl just went up on the @NASDAQ billboard in Times Square New York today. pic.twitter.com/cLeRVkng0R
— Yuna Zarai (@yunamusic) November 23, 2016
Yuna dipilih sebagai artis pilihan bulanan Pasaran Saham Nasdaq dan disebabkan itu wajahnya terpampang di skrin tersebut. Sebelum ini, wajah kumpulan penyanyi popular, The Chainsmokers yang menghiasi papan LED tersebut.
“Saya pula diundang untuk sesi fotografi oleh Nasdaq baru-baru ini dan hanya gambar yang dipaparkan di skrin terbabit, bukan video. Apapun, saya bersyukur kerana bakat saya diterima baik di sana walaupun baharu lima tahun mencuba nasib di negara itu,” kata Yuna kepada BH Online.
Nama Yuna yang kian naik sekarang ini selepas mendendangkan lagu duetnya yang berjudul Crush bersama bintang tersohor Amerika Syarikat, Usher cukup merasakan yang rezekinya kini semakin bertambah apabila dia giat dalam industri muzik.
Meskipun sebelum ini ketika musim pilihan raya di Amerika Syarikat berlangsung dan memihak kepada Donald Trump, Yuna akui yang dirinya agak kecewa dan bimbang akan keselamatannya di sana sebagai seorang yang beragama Islam dan berhijab kerana umum tahu bakal presiden baru pengganti Barack Obama ini menyebarkan aura perkauman dan menyebarkan unsur Islamophobia.
“Pada mulanya saya agak takut juga ketika musim pilihan raya berlangsung, tetapi saya buat seperti biasa saja. Malah, saya pernah dicubit ketika berjalan-jalan di New York. Mungkin ia tindakan orang kurang siuman walaupun dia juga ada bercakap pasal perkauman. Alhamdulillah, hingga kini tiada perkara serius yang berlaku seperti apa yang dilaporkan di media sosial. Saya masih boleh bebas berjalan seperti biasa, cuma, ketika persembahan jelajah Eropah, kawalan keselamatan diperketatkan,” ujar Yuna lagi kepada BH.