Lazim bagi seorang anak mempunyai perasaan cemburu pabila lahirnya seorang adik baru. Begitulah juga perasaan yang ditunjukkan oleh Yahaira Leanne, anak sulung kepada pasangan popular Lisa Surihani dan Yusry Halim.
Yahaira yang baru saja menjangkau usia setahun setengah kini dikatakan masih dalam proses menyesuaikan diri menjadi seorang kakak kepada adik barunya iaitu Yusof Leonne. Jadi, tidak dinafikan yang dia mula menunjukkan perasaan cemburu baru-baru ini.
Secara umumnya, ia masalah biasa yang akan dialami oleh anak kecil. Boleh kata yang Yahaira masih tidak puas bermanja dengan kedua ibu bapanya serta pada masa yang sama masih belum memahami akan kelahiran adiknya.
Menurut Yusry, Yahaira pada mulanya sememangnya tampak teruja ketika dibawa berjumpa dengan adiknya, Yusof di hospital. Bahkan dilihat tidak sabar untuk mencium adiknya. Namun dia mula menunjukkan perasaan cemburu lebih-lebih lagi pabila Yusof sedang menyusu badan.
“Supaya dia tidak berasa tersisih, kami sentiasa membabitkannya dalam setiap aktiviti, sama ada ketika memakaikan baju pada si kecil mahu pun mengajaknya bermain-main. Kebiasaannya saya dan isteri bergilir-gilir memperuntukkan masa khas menemani Yahaira. Rasanya, perasaan sebegini biasanya sekejap saja. Lagi pun dia baru berusia setahun lebih. Masih kecil sangat untuk memahami situasi dialaminya,” kata Yusry kepada BH Online.
Anak kedua pasangan popular ini, Yusof lahir pada 23 April yang lalu. Yahaira pula lahir pada 15 September 2015.