Jika selebriti lain sanggup berhabis untuk memastikan ulang tahun kelahiran mereka disambut meriah, lain pula dengan ahli kumpulan Red Velvet, Yeri.
Menurut laporan media Soompi, Yeri meraikan hari lahirnya pada 5 Mac lalu dengan memberi sumbangan besar bernilai kira-kira RM36,000 kepada Baby Box Komuniti Jurasang bagi membantu ibu tunggal dan bayi yang ‘dibuang’ oleh ibu bapa.
Yayasan ini melindungi dan menyelamatkan bayi terbuang melalui program peti pelindung bayi. Ia turut menawarkan kaunseling buat ibu tunggal, membekalkan keperluan bayi dan membantu mereka dari segi kewangan.
Dilaporkan Yeri merancang untuk menyediakan kit penjagaan bayi istimewa buat ibu tunggal yang mempunyai cahaya mata di bawah usia tiga tahun.
“Sempena ulang tahun kelahiran ke-22, saya ingin berkongsi rasa cinta yang diterima dengan memberi.”
“Saya berharap semua orang termasuk kanak-kanak akan kekal sihat dan diberi kekuatan untuk menghadapi situasi sukar yang disebabkan oleh pandemik Covid-19,” katanya.
Paderi dan pengasas Komuniti Jurasang, Lee Jong Rak mengucapkan rasa syukur di atas sumbangan yang diterima. “Kami bersyukur atas sokongan dan bantuan kewangan yang diberikan dalam waktu-waktu sukar ini. Ia merupakan bantuan yang besar untuk ibu tunggal yang memilih untuk membesarkan anak mereka sendirian.”
Yeri yang berada di bawah naungan agensi pengurusan SM Entertainment merupakan satu nama besar dalam industri K-Pop. Selain bidang nyanyian, dia kini turut menceburi dunia lakonan dengan membuat penampilan sulung dalam drama pendek, Mint Condition sebagai Hong Chae Ri.
Foto: Allkpop
Baca: Jisoo Blackpink Dipilih Sebagai Idola Wanita Tercantik