Yuna Rindu Hiburkan Peminat Tempatan
Tahun lalu penyanyi berusia 37 tahun ini meluahkan keinginan untuk muncul dengan konsert mega. Kali terakhir dia menghiburkan peminat tanah air adalah menerusi konsert Yuna Live In Malaysia pada 2015 yang berlangsung di Dewan Plenari, Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC).
Bagaimanapun menurutnya ketika itu, ia masih dalam perancangan memandangkan dia perlu menyiapkan album baru, Y5. Selain itu dia juga perlu memberi tumpuan pada konsert jelajah di beberapa lokasi sekitar Amerika Syarikat sebelum menjayakan konsert di Kuala Lumpur.
“Kalau boleh saya nak buat persembahan di Dewan Plenari, KLCC seperti yang pernah saya lakukan dulu. Memang ada perancangan ke arah itu tapi segalanya bergantung pada keadaan. Saya rasa penting sangat untuk mengadakan konsert di Kuala Lumpur. Saya memang sudah lama tunggu nak beraksi di sini. Rindu juga nak imbau lagu lama terutama lagu berbahasa Melayu. Saya juga ingin ambil kesempatan itu untuk memperkenalkan lagu baru,” katanya, menurut laporan Utusan.