Walaupun pernah menyatakan memakai tudung kerana menghormati majlis pada bulan Ramadan, bertepatan 17 Ramadan iaitu 15 Julai, Ziana Zain mengakui kekal berhijab. Pengakuan itu dilakukan ketika menjalani rakaman program MeleTOP Raya yang menyaksikan diva pop itu mengenakan helaian muslimah rona lemak ketam senada dengan kerudung daripada Rizman Ruzaini.
Akui ibu kepada empat cahayamata itu, sudah bertahun beliau berdoa ditetapkan hati berhijab sekali gus menganggap ia hadiah Ramadan paling disyukuri.
“Semua ini adalah berkat doa peminat, anak-anak, keluarga, rakan-rakan dan paling utama ibu bapa. Alhamdulillah… biarlah ia kekal ke akhir hayat,” katanya.
Gambar: Instagram
Sebelum ini Ziana telah memuatnaik fotonya berhijab bersama anak-anak melalui akaun Instagramnya dan pengurusnya juga telah memuatnaik klip penyanyi bersuara lunak ini ketika ditemubual oleh hlive! yang mengesahkan hijrah Ziana kini.
Sememangnya peminat setia Ziana Zain amat gembira dengan perubahan penyanyi kesayangan mereka ini dan terus menyokong kerjayanya.