Zul Ariffin telah membuat keputusan mengejut dan muktamad untuk berhenti berlakon drama di televisyen dan memberi fokus kepada filem.
Pelakon terkenal Zul Ariffin, 36 memutuskan untuk tidak berlakon drama televisyen kerana merasakan ada beberapa pihak di set penggambaran bersikap kurang serius. Walaupun bukan kesemuanya berperangai sebegitu, dia mengaku letih dengan sikap segelintir pihak yang memandang remeh dengan penggambaran drama.
“Kalau nak kata eksklusif, ia subjektif pada saya. Saya berhak untuk meletakkan diri di tempat yang saya mahukan. Kebanyakkan filem saya mendapat sambutan peminat, sokongan itu penting dan ada ‘demand’. Apabila mendapat maklum balas sebegitu, saya rasa seperti mahu berikan lebih lagi. Ia suatu yang menarik.”
“Saya suka berlakon drama cuma letih sikap segelintir individu yang memandang remeh kala penggambaran drama. Contohnya, drama bukan tempat sekolah lakonan. Asah bakat betul-betul, masuk betul-betul sebab bila berlakon drama kita ada tanggungjawab, kita mahukan penilaian kepada stesen televisyen. Penerbit beri rezeki, kita perlu beri sesuatu kepada mereka” kongsi Zul Ariffin.