Aktor Sangkar, Zul Ariffin meluahkan rasa syukur kerana diberi rezeki melaksanakan rukun islam kelima, ibadah haji.
Pelakon berusia 37 tahun itu kini sedang sibuk membuat persiapan dan menghadiri beberapa kursus haji. Dia akan bertolak ke Tanah Suci Mekah pada 10 Jun 2021. Zul Ariffin berkata dia sepatutnya berangkat lebih awal namun terpaksa menunda tarikh kerana terikat dengan komitmen penggambaran.
“Tarikh keberangkatan saya dianjakkan ke minggu kedua iaitu pada 10 Jun kerana perlu menyelesaikan baki penggambaran. Alhamdulillah tiada rasa gementar tapi ada beberapa perkara yang perlu saya siapkan terlebih dahulu seperti menghadiri kursus haji. Kena ‘laju’ juga sebab saya hanya ada lebih kurang satu minggu untuk bersedia sebelum bertolak,” katanya menurut laporan mStar.
Pelakon Lelaki Terbaik Festival Filem Malaysia ke-31 itu juga terpaksa menunda beberapa projek lakonan. Keputusan itu dibuat kerana dia tidak mengetahui tempoh keberadaannya semasa menunaikan Haji. “Ada beberapa projek yang terpaksa saya tunda termasuk bersama Astro. Kalau ibadah umrah kita boleh jangka berapa lama sebab kita sudah tahu bagaimana keadaannya. Namun, ibadah haji saya belum tahu. Disebabkan itu, saya terpaksa tunda projek kerana bimbang tak dapat beri komitmen,” kongsinya kepada Utusan.