Oleh : Khairul Abidin
Gambar : Zalora & Fashion Valet
Tiada idea solekan sebagai peneman busana di pagi Aidilfitri nanti? Nah, saya pilihkan gaya-gaya solekan paling ‘in’ ketika ini untuk kamu cuba lebaran ini. Baju saja cantik tapi tiada solekan yang wow pun tak cantik juga kan?
JIKA BAJU KAMU PASTEL NUDE
*NH by Nurita Harith
Kami cadangkan gaya solekan yang lebih bold bagi menghidupkan gaya ini. Curi inspirasi solekan Christian Dior untuk pementasan koleksi Musim luruh 2016. Solekan ini member fokus pada calitan gincu gelap. Gariskan bibir dengan pensel bibir warna plum, kemudian calit penuh bibir dengan gincu warna senada dan berikan efek glamour dengan sapuan glos tanpa warna. Solekan mata? Cukuplah dengan penggaris mata atau sapuan maskara berlapis-lapis.
JIKA BAJU KAMU WARNA MAROON
*PikatKL
Berikan fokus solekan pada bahagian mata namun dalam gaya yang effortless. Ambil ilham solekan Nina Ricci ini, matanya tidak bercalit pembayang mata namun dihidupkan dengan pemakaian maskara dan bantuan bulu mata palsu. Hidupkan dengan gaya kening yang lebih significant. Bibir sekadar bersalut salap bibir (lip balm) warna pic sudah cukup. Nampak lembut kan?
JIKA BAJU KAMU BIRU atau PINK
*Rizalman for Zalora
Dua warna yang cukup ceria. Solekan dalam warna-warna tanah mungkin sudah sesuai untuk menyerlahkan gaya. Namun apa salahnya jika mahu tampil lebih ‘pop’ dalam busana ini. Berikan bibir kamu calitan gincu warna fuchsia seperti yang digayakan model di pementasan Gucci. Tekstur pusam (matte) paling ‘in’ buat masa ini.
JIKA BAJU KAMU WARNA PUTIH
*WooFiziWoo for Zalora
Berikan wajah kamu sentuhan Old Hollywood Glamour dengan menghidupkan wajah kamu dengan calitan gincu merah menyala seperti yang digayakan pada wajah-wajah model di Prada. Hanya perlu bentukkan kening dan sapuan maskara sebagai peneman bibir kamu yang bold. Gincu merah pantas membuat membuat wajah nampak segar.