Disebabkan sekeping gambarnya memegang anjing di Eropah minggu yang dimuat naik oleh Ramona Zamzam minggu lalu, sampai ke hari ini tak habis-habis Instagram miliknya dibanjiri kritikan pedas netizen.
Bagi pelakon tempatan ini, dia percaya akan apa yang dia lakukan tidak langsung melanggar sebarang kesalahan dari sudut agama. Bahkan, Ramona sendiri akui tidak akan memadam gambar berkenaan meskipun diminta oleh segelintir pengikutnya akibat perbalahan isu pegang anjing diruangan komen gambar tersebut.
“Saya sedar ada pengikut yang bergaduh sesama sendiri kerana hal itu dan menyuruh saya membuang gambar tersebut,tetapi saya tidak akan berbuat demikian. Pada saya tidak salah saya pegang anjing tersebut kerana kedua-duanya dalam keadaan kering, lagipun cuaca disana ketika itu sejuk dan kering,” kata Ramona kepada pihak Kosmo!
Ramona telah memuat naik sekeping gambar dirinya sedang memegang anjing jenis Husky kala bersiar di Verona, Itali. Ratusan komen negatif dan kata-kata berunsur hinaan boleh dilihat menerusi gambar tersebut, namun pada masa yang sama ada sesetengah pengikutnya yang kekal menyokong Ramona meskipun dikritik sedemikian rupa.
Tambahnya lagi, suaminya yang juga seorang rakyat Palestin juga hairan dengan tahap sensitiviti masyarakat Malaysia akan isu menyentuh anjing. Dia juga seakan terkejut kerana seakan yang rakyat Malaysia ini terlalu anti kepada binatang tersebut.
“Dia memberitahu saya, jika di luar negara termasuk negara timur tengah, haiwan tersebut dilayan seperti kucing,” tambahnya lagi.