Oleh: Farhana Fuad
Gambar: Calvin Klein
Calvin Klein jenama busana tersohor antarabangsa tampilkan bintang popular dunia, Justin Bieber dan supermodel, Lara Stone sebagai wajah kempen Calvin Klein Jeans dan Calvin Klein Underwear buat musim bunga tahun ini. Melalui kempen ini, Bieber digandingkan bersama Stone menggayakan helaian seluar jeans tidak berbaju bersama seluar dalam yang direka untuk stail musim ini.
Sesi penggambaran kempen musim bunga Calvin Klein ini merupakan hasil kerja jurugambar fesyen Mert Alas dan Marcus Pigott yang bertempat di kota New York. Bahkan, sesi penggambaran kali ini dirakamkan ke dalam bentuk video digital selaras dengan kepesatan media sosial. Sempena kempen ini juga, pengguna media sosial diajak untuk bersama menyertai kempen ini dengan memuat masuk gambar selfie memakai produk jenama Calvin Klein berserta hashtag #mycalvins.
Menurut ketua pemasaran jenama gergasi ini, Melisa Goldie, Bieber dibawa masuk ke dalam senarai panjang selebriti dunia yang menggayakan koleksi dari Calvin Klein kerana dia mempunyai pengiktirafan dari seluruh dunia di kalangan peminatnya yang tidak henti menyokong serta pertaliannya dengan jenama mewah ini serta aura pesona yang gah menarik lebih ramai pengguna untuk celana jeans dan pakaian dalam dari koleksi terbaru ini.
“Calvin Klein merupakan satu jenama ikonik dan saya sangat teruja dan berbesar hati untuk turut serta dalam legasi Calvin Klein. Saya merupakan seorang peminat tegar jenama ini dan saya gemar memakai celana jeans dan seluar dalam oleh jenama ini. Jadi ia seolah mimpi jadi kenyataan,” ujar Bieber.
Stone pula boleh dikategorikan antara supermodel yang semakin hebat sama ada di pentas peragaan mahupun pelbagai kempen jenama tersohor. Malah dia juga merupakan yang pertama menggayakan Koleksi Calvin Klein di pentas peragaan musim bunga tahun 2007.
Jenama popular antarabangsa ini lebih mengetegahkan kepada fesyen kasual dan muzik di mana ia seringkali membawakan helaian yang digemari ramai pemuzik dan selebriti. Antaranya termasuklah Taylor Swift, Drake, Sam Smith, Kanye West, Harry Styles, Rita Ora dan ramai lagi.
Saksikan video pendek kempen Calvin Klein Jeans dan Underwear bersama Justin Bieber dan Lara Stone.