Gambar : Shutterstock
Karakter individu nyata mampu mempengaruhi tahap kesihatan mereka. Kajian demi kajian dilakukan pakar untuk mengungkai perkaitan ini. Beberapa pakar psikologi berpendapat cara pembawaan diri seseorang mampu mempengaruhi tahap kesihatan. EH! menyingkap kaitan karakter individu dengan tahap kesihatan.
EXTROVERT
Golongan individu dalam kelompok ini selalunya mereka yang mempunyai karakter riang dan aktif. Kajian yang dilakukan oleh Universiti Tohuku, Jepun mendapati kelompok ini paling mudah mengalami masalah obesiti. Dan menurut kajian lengkap yang dilakukan ke atas 30,000 orang mendapati kaum wanita lebih mudah mendapat risiko obesiti berbanding lelaki yang memiliki kadar BMI melebihi 25.
MUDAH CEMAS
Dalam kajian yang sama dilakukan oleh Universiti Tohuku menyatakan mereka yang memiliki sifat cepat cemas dengan sebarang kejadian pula paling dekat untuk mendapat masalah kekurangan berat badan yang memudaratkan. Mudah berdebar-debar, darah gemuruh dan nadi berdegup laju antara simptom yang mempengaruhi pengurangan berat badan yang mampu memudaratkan.
TENANG
Seseorang itu mampu menangani tekanan dengan waras kerana berada dalam situasi kehidupan yang tenang. Kajian yang dilakukan di Institut Karolinska, Stockholm terhadap 500 responden mendapati mereka yang mampu mengawal tekanan adalah golongan yang paling sedikit mendapat gangguan mental atau penyakit lain berkaitan otak.
SOCIAL BUTTERFLY
Golongan ini nyata aktif dalam kehidupan sosial harian. Baik kerana tanggung jawab tugas dalam karier mahupun sekadar berjumpa teman. Mereka adalah golongan yang tidak penat untuk berbual atau melakukan apa jua aktiviti. Namun tahukah anda satu kajian yang dilakukan oleh The Center for Military Psychiatry and Neuroscience at the Walter Reed Army Institute mendapati mereka yang bersosial melebihi 12 jam akan mengalami kesukaran untuk tidur.
EMOSI
Emosi tidak stabil akan mengakibatkan seseorang itu mudah untuk mengalami radang perut. Kebanyakan yang gagal mengawal emosi akan terdorong kepada aktiviti sosial yang tidak sihat seperti merokok, minum arak, mengamalkan diet tidak seimbang serta tidak bersenam. Semua gejala ini akan meningkatkan kadar pemprosesan asid berlebihan dalam badan.
PEMALU
Sikap dingin serta malu berhadapan apa jua situasi. Menurut laporan kajian yang dilakukan oleh Northwestern University, Chicago mendapati golongan ini 50% lebih mudah mendapat masalah serangan jantung dan strok. Menurut laporan yang ditulis hal ini berlaku adalah kerana gaya hidup yang tidak sihat dan perubahan diri secara tidak konsisten berkaitan dengan emosi.
HUMOR
Tawa penawar duka! Menurut laporan kajian Norwegian University of Science and Technology mendapati mereka yang memiliki sense of humor yang tinggi hidup lebih lama. Golongan ini biasanya menjalani fasa kehidupan yang sihat, pada masa yang sama mengurangkan kadar tekanan dalam diri. Ada kajian lain turut menyatakan dengan ketawa seseorang itu meningkatkan antibodi serta melancarkan sistem imunisasi.
GOPOH
Agresif dan kurang sabar dalam melakukan sesuatu akan memberi kesan buruk pada sistem badan. Kajian yang dilakukan Oncological Hospital, Athens ke atas 400 wanita mendapati kebanyakan wanita dalam golongan ini terdedah kepada masalah kanser payudara. Selain itu golongan ini juga mudah menghadapi masalah tinggi kolestrol, tekanan darah tinggi dan migrain.